“Islam itu tak beku, sesuai pada setiap zaman. Tetapi, para penganutnya sendiri yang membuat Islam tu jadi beku. Mudah saja, apa yang dicari orang hari ini, sudah ada dalam Islam sejak beratus tahun dulu, sama ada tentang kehidupan di langit, di bumi dan di laut. Malah kejadian budak dalam perut ibunya sudah dinyatakan dalam Al-Quran. Sayangnya orang Islam sendiri tak mau mencarinya. Kalau hidup berpegangkan ajaran agama, selamat kita dunia akhirat.”

Wednesday, December 29, 2010

Harimau Dalam Kebun Getah

Gambar Harimau Berkeliaran Dalam Kebun Getah Di Kelantan

1. Saya ada memiliki beberapa keping gambar foto yang menunjukkan kelibat seekor harimau yang merayau-rayau di dalam kawasan kebun getah di Jajahan Gua Musang, Negeri Kelantan.

2. Dalam awal tahun 2000-an, terdapat beberapa kes kejadian pertembungan manusia dengan harimau dalam kawasan kebun getah di Negeri Kelantan. Dalam beberapa kejadian, telah berlaku beberapa kes yang membabitkan kematian dan kecederaan manusia.

3. Saya percaya pertembungan tersebut berlaku dalam hujung tahun 1990-an atau awal 2000-an. Daripada gambar-gambar tersebut, saya anggarkan bahawa Harimau Belang tersebut masih muda usianya.

4. Tidak banyak informasi tambahan yang boleh saya paparkan tentang kejadian pertembungan tersebut, melainkan beberapa keping gambar foto untuk menceritakan segala-galanya.

Persekitaran kebun getah yang telah berpadu dengan semak samun
 membentuk hutan sekunder.

Bayangkanlah perasaan seseorang itu jika tiba-tiba terlihat
kepala Harimau Belang tercongol dari balik belukar
di celah-celah pokok getah.

Mungkin harimau muda ini tidak memahami
 pemilikan manusia terhadap kebun getah tersebut.

Denai yang digunakan oleh manusia telah menjadi
laluan yang dimanfaatkan oleh seekor harimau.


Harimau datang menyiasat 1.


Harimau datang menyiasat 2.

Harimau datang menyiasat 3.

Harimau datang menjenguk dari celah-celah pokok resam.

Menanti di tepi laluan denai tanpa ragu-ragu.

Harimau menanti untuk memberi salam kunjungan.

Tuesday, December 28, 2010

Kaki Makan Air

Kecederaan Kecil Yang Membantutkan Pergerakan

1. Pengalaman ketika berjalan jauh di dalam hutan dalam keadaan sarung kaki dan kasut sentiasa basah dan lembap, manis apabila dikenang kembali tetapi sangat perit ketika diri sendiri merasakannya.

2. Jika berjalan di dalam hutan dalam keadaan musim hujan, tambahan pula setiap hari terpaksa meranduk sungai atau berjalan menyusuri sungai,  kulit kaki akan terdedah kepada risiko yang tinggi untuk mengalami apa yang saya panggil sebagai keadaan 'kaki makan air' atau 'kaki kena kutu air'.

3. Dalam musim hujan, tanah yang dipijak menjadi lumpur yang melekat pada tapak kasut yang dipakai dan memberatkan langkah kaki. Ada kalanya tanah lumpur tersebut memercik masuk sehingga meresap ke dalam sarung kaki.

4. Pasir-pasir sungai yang halus mudah untuk masuk ke dalam sarung kaki dan kasut. Dengan setiap pergerakan kaki yang melangkah di dalam hutan, kulit kaki yang telah mengecut akan mudah terluka akibat geseran dengan pasir yang terhimpun dalam kasut atau sarung kaki.

5. Berehat di waktu malam akan memberi peluang untuk mengeringkan kulit kaki yang mengecut. Penggunaan serbuk bedak dapat membantu memberi kesegaran kepada kulit kaki dan mempercepatkan proses pengeringan. Tetapi, tidak ada jaminan kepada kulit kaki bahawa perjalanan esok hari di dalam hutan akan bebas daripada unsur-unsur air dan kelembapan. 

6. Dengan menggunakan unggun api, kasut dan sarung kaki yang lembap mungkin boleh dikeringkan, tetapi dalam keadaan tanah yang lembap, proses menyalakan unggun api mungkin akan memakan masa yang lebih lama dari kebiasaan. Pada waktu malam, adalah tidak mustahil untuk mengeringkan tubuh badan dan pakaian. Tetapi adalah agak mustahil untuk kekal kering dalam perjalanan merentas hutan pada keesokan harinya.

7. Seseorang yang sudah memiliki pengalaman 'masuk hutan' selama bertahun-tahun sekalipun, tidak boleh menjangka atau mengelak daripada risiko mengalami jenis kecederaan pada kulit kaki ini. 


Kulit tapak kaki mengecut kerana pendedahan
kepada kelembapan dalam tempoh lama.

Luka-luka kecil mula terbentuk pada kulit kaki akibat geseran
dengan tekstil kain sarung kaki atau pasir sungai.

Keadaan kulit tapak kaki akibat pendedahan berterusan
kepada kelembapan.

Apabila kasut dan sarung kaki dibuka, pedihnya akan dirasakan apabila
luka kecil yang belum kering bersentuh dengan apa-apa objek,
 meskipun sekecil daun rumput.

Friday, December 24, 2010

Maklum Balas Emel Daripada Malaya Historical Group

1. Emel daripada Malaya Historical Group berkaitan artikel Kisah Di Sebalik Penemuan Bangkai Pesawat Tentera Di Hutan Gunung Bubu, Perak Pada 1 Mei 2010 :
From:
Shaharom Ahmad malayahg@gmail.com
To:rambo freebooterrambo@yahoo.com
Encik Rambo..

Terima kasih atas link yg diberikan. Ternyata info yang didapati boleh membantu kami menyelidik secara lanjut ttg pesawat dakota ini. Namun begitu sumber yg mengatakan penduduk kampung menemui pesawat ini 40 tahun dahulu amatlah dihargai. Diharap kita dpt menemui mereka yang menjumpai bahagian depan pesawat dimana mereka menjumpai barang2 crew tersebut.

Terima kasih atas bantuan


Shaharom Ahmad
MHG
.................................................................................................................................
2. Emel daripada Malaya Historical Group berkaitan artikel Relik Tinggalan Ketenteraan Malaya Tahun 1954 :
From:
Shaharom Ahmad <malayahg@gmail.com> 
To:rambo <freebooterrambo@yahoo.com>

Salam encik rambo


Water container atau jerrycan ni asal dari tentera british yang membawa masuk semasa darurat. Diguna pakai utk air atau petrol. Pada pengamatan saya, jerrycan ini sukar dibawa dari kawasan bawah ke puncah gunung xxxxx melalui jalan kaki. Kemungkinan besar ia dibawa melalui helikopter dan diletakkan di situ dan kemungkinan besar juga Gunung xxxxx diguna pakai sebagai kawasan pusat Operasi atau military posts semasa darurat. Semasa darurat, kawasan puncak bukit atau gunung diguna oleh tentera sebagai military base or camp untuk memudahkan mereka menghantar bekalan atau tentera pada kawasan operasi yang besar. LZs ( Landing Zone ) atau LP ( Landing Point ) dibuat bagi memudahkan barangan keperluan dan senjata di turunkan melalui udara.

Pada hemat saya, kawasan jerrycan ini dijumpai kemungkinan kawasan military base semasa darurat. Jika kawasan ini masih diguna pakai oleh trekkers sebagai kawasan perkhemahan, maka betul la itu..Kemungkinan ada lagi tinggalan tentera tersembunyi di kawasan ini

Terima kasih atas maklumat yg diberikan..

Saya juga ingin bertanya jika Rambo tahu siapa penduduk kg yang menjumpai bangkai pesawat dakota di Gunung Bubu itu. Kami ingin menjejaki bahagian yang mereka menjumpai barangan persendirian seperti topi dsbnya. Kemungkinan besar rangka kru pesawat berada di situ.,.


sekian


Shaharom Ahmad
MHG

Wednesday, December 22, 2010

Perkhemahan Haram Di Dalam Hutan Belantara Malaysia

Tapak Perkhemahan Lanun Hutan

1. Kumpulan lanun hutan ini akan berada di dalam sesebuah kawasan hutan dalam satu tempoh yang boleh memakan masa sehingga berbulan-bulan. Dalam tempoh itu, suatu perkhemahan akan dibina sebagai tapak untuk mereka melancarkan kegiatan memungut hasil hutan milik negara Malaysia secara haram.

2. Kawasan perkhemahan yang dipilih biasanya terletak berhampiran punca air seperti aliran sungai atau anak sungai. Walau bagaimanapun, bekas tapak perkhemahan kumpulan ini pernah ditemui di kawasan puncak bukit atau gunung, dengan lopak atau kolam semulajadi menjadi punca sumber keperluan air mereka.

3. Jumlah anggota kumpulan dan anggaran tempoh masa menjalankan kegiatan, akan menjadi faktor penentu seluas mana kawasan tapak perkhemahan haram mereka. Jika terdapat enam orang dalam kumpulan lanun hutan terbabit, maka sekurang-kurangnya akan terdapat enam buah tapak khemah persendirian yang berasingan, sebagai tempat tidur dan menyimpan barang masing-masing.

4. Pelbagai struktur binaan akan dibina oleh anggota kumpulan haram tersebut mengikut keperluan mereka. Di antara struktur yang pernah ditemui di kawasan tapak bekas perkhemahan mereka, adalah seperti tempat menyalai ikan atau daging, tempat menyangkut pakaian dan sebagainya mengikut tahap kreativiti yang ada pada anggota-anggota kumpulan lanun hutan terbabit.

5. Kumpulan ini umumnya menggunakan bahan-bahan semulajadi seperti kayu, buluh dan rotan sebagai sumber utama mereka untuk membina perkhemahan. Cara pembinaan perkhemahan oleh kumpulan lanun hutan ini adalah di antara aspek yang boleh dijadikan penanda, dalam mengesan dan membanteras aktiviti haram mereka di dalam hutan belantara kita. 

Bekas Tapak Perkhemahan Lanun Hutan Di Lokasi Hutan Malaysia 1

Bekas Tapak Perkhemahan Lanun Hutan Di Lokasi Hutan Malaysia 2

Bekas Tapak Perkhemahan Lanun Hutan Di Lokasi Hutan Malaysia 3

Bekas Tapak Perkhemahan Lanun Hutan Di Lokasi Hutan Malaysia 4

Saturday, December 18, 2010

Relik Tinggalan Ketenteraan Malaya Tahun 1954

'WATER CONTAINER'

1. Saya tertarik dengan usaha oleh Malaya Historical Group (MHG) dan Muzium Tentera Darat untuk menyelamatkan tinggalan relik sejarah ketenteraan di Malaysia. Perkara ini menjadi salah satu contoh kerjasama operasi di antara Angkatan Tentera Malaysia dengan organisasi lain di tanahair, dalam usaha memelihara segala aspek kepentingan negara Malaysia.

2. Saya teringat bahawa saya pernah menemui tiga buah tong air besi di puncak sebuah gunung di dalam hutan di Semenanjung Malaysia. Saya percaya ketiga-tiga bekas air tersebut dibawa ke puncak gunung tersebut samada oleh pihak tentera atau polis ketika era sebelum atau awal kemerdekaan negara Malaysia.

3. Terdapat cetakan tahun 1954 pada salah satu bekas air tersebut, yang mungkin menerangkan tentang tahun pembuatannya, di samping cetakan huruf W, D dan satu anak panah yang menghala ke atas. Saya berpendapat bahawa tong-tong air tersebut dikeluarkan oleh pihak keselamatan penjajah British bagi kegunaan pasukan polis atau tentera Malaya ketika itu.

4. Saya berharap kerajaan melalui agensi berkaitan dapat menyelamatkan ketiga-tiga relik ketenteraan tersebut, daripada musnah akibat pendedahan kepada agen luluhawa atau sebelum kumpulan lanun artifak sejarah mengheret turun tong-tong air tersebut dari puncak gunung berkenaan. Insya Allah, butiran lanjut tentang perkara ini akan saya panjangkan kepada pihak Malaya Historical Group (MHG) dan Muzium Tentera Darat.




Thursday, December 16, 2010

Artikel Berkaitan Penemuan Bangkai Pesawat Tentera Di Hutan Gunung Bubu, Perak Pada 1 Mei 2010

1. Malaya Historical Group (MHG)

Petikan artikel daripada laman web Malaya Historical Group http://mhg.mymalaya.com/bruas_dc3.htm berkaitan penemuan bangkai pesawat tentera yang terhempas di kawasan hutan Gunung Bubu, Perak:
.................................................................................................................................

Bruas DC-3 Serial Number 43-16261

about this wreck. The wreck still intact and we will visit this site soon for further investigation.
So far there is no human remains found which we believed they were bailed out from the aircraft or we assumed they were successfully crashed landed this aircraft in the jungle due to intact cockpit section but were captured by Communist Terrorist or being killed in the jungle after getting lost.
I contacting several researcher which familiar with DC-3. From the serial number, it was found on the records below :-
*This is a really interesting aircraft.  It disappered on a flight from Singapore to Butterworth on November 27, 1945.  They searched for it until December 16, 1945 and gave up.  The aircraft had three crew members who are shown as "Missing in Action" on the "Tablets of the Missing at Manila American Cemetary"  If their remains have not previously been recovered, they may still be in or around the aircraft. Mike Stowe*
The crew was:- 
  • Pilot: F/O Judson B. Baskett, T-64445, from Texas 
  • Copilot:  1LT William H. Myers, O-796183, from Pennsylvania 
  • Radio Operator: PFC Donald E. Jones, 37484709, from Minnesota.
Thanks Mike for the info.






2. Pacific Wreck

Petikan artikel daripada laman web Pacific Wreck http://www.pacificwrecks.com/aircraft/c-47/43-16261.html berkaitan penemuan bangkai pesawat tentera USAF tersebut:
.................................................................................................................................

C-47B-1-DL Dakota Serial Number 43-16261  


Pilot
F/O Judson B. Baskett, T-64445 (MIA / KIA) TX

Co-PIlot
1st Lt. William H. Myers, O-796183 (KIA) Elizabethtown, PA

Radio
Pfc Donald E. Jones, 37484709 (MIA / KIA) MN

MIA 
November 27, 1945

MACR 
15001

Crew History
All three crew members were part of the 1305th Army Air Force Base Unit.
Baskett was from Texas and married. Jones was from Minnesota and married.
Aircraft History
Built by Douglas. Constructors Number 20727. Assigned to the Air Transport Command (ATC). When lost, engines R-1830-90-C serial numbers CP-139362 and P-1333226.
Mission History
Took off from Singapore on a transport flight via Swittenham to Butterworth Airfield. Weather was scattered showers and occasional rain, visibility 15-20 miles. Last reported location by radio was over Malaoca.
Search
After being reported missing, USAAF aircraft were briefed to look for this aircraft, also RAF aircraft cooperated in searching. On the fifth day of searching, flares were sighted at 100 degrees 59' east and 4 degrees 24' north. But no results were reported.
Memorials
The crew was presumed dead the day of the crash. Officially, the crew were declared dead a year later on November 28, 1946. All are memorialized at Manila American Cemetery. No memorial service was ever conducted for Myers, whose mother hoped that he would one day return.
Wreckage
Crashed into a jungle slope, the nose section was crushed but the wings and tail section remain largely intact.
Initially discovered during July 1966, the wreckage was spotted from the air and investigated in the jungle near Perak, Malaysia. The tail serial number was clearly visible "316261" and American markings. During middle July 1966, a spokesman at the Pentagon was quoted in WWII Pilot's Mother Wants Jungle Search "the plane was identified by numbers on the tail section spotted by aircraft flying overhead. Identification of the persons presumably killed in the crash was done by checking with the Army casually branch."
In early 1985, the wreck was rediscovered again by two rattan (palm) collectors, who notified the press and Museum Negara and Military Museum.
In 2009, locals again rediscovered the wreck and photographed it. They reported the wreck to the US Embassy in Malaysia an Pacific Wrecks.
Brig General (Ret) Akbar Din adds:
"We have [rediscovered] found a wreckage of a US Plane (Air Transport Command - U.S. Army Air Forces). Tail number 16261. I got pictures of the plane as attached. Please be fast or else the villages is going to cart it (with the remains of US Pilot) to the scrap dealers."
This wreck was reported to JPAC on October 13, 2009 and acknowledge by JPAC on October 14, 2009.
Relatives
Are you a relative of any member of this crew? Contact us immediately .
Bill Myers (nephew of Myers)
John "Chris" Kerr (great nephew of Baskett)
References
WWII Pilot's Mother Wants Jungle Search July 19, 1966
The Star - Mystery in the jungle June 24, 1985
MACR 15001 lists co-pilot as "Meyers" (incorrect) while
ABMC lists him as "Myers" (correct)
Thanks to Brig Gen (Army) Akbar Din (Ret) wreck report and Thomas Ooi for photos
Thanks to Bill Myers, Anthony Morris,
Shaharom Ahmad for additional information
Contribute Information
Do you have photos or additional information to add?
Last Updated
September 3, 2010

Wednesday, December 15, 2010

Kisah Di Sebalik Penemuan Bangkai Pesawat Tentera Di Hutan Gunung Bubu, Perak Pada 1 Mei 2010

Pendahuluan

1. Pada 1 Mei 2010, satu laporan berkaitan penemuan bangkai kapal terbang tentera yang terhempas di kawasan hutan berhampiran Gunung Bubu, Perak telah disiarkan di dalam akhbar.

2. Satu kumpulan pembalak telah menemui sisa kapal terbang tersebut dan telah melaporkan penemuan tersebut kepada akhbar Berita Harian, dengan membuat satu rakaman video sebagai bukti penemuan tersebut. 

3. Sebenarnya lebih kurang 40 tahun sebelum itu, sudah ada sekumpulan penduduk kampung yang telah terlebih dahulu menemui bangkai pesawat tentera itu di lokasi nahas.

4. Catatan ini cuba menyorot kembali kronologi pengalaman kumpulan penduduk kampung terbabit, sebagaimana maklumat yang saya olah kembali daripada satu sumber.

Penemuan Pertama Oleh Penduduk Kampung

1. Dalam tahun sekitar 1960-an, enam orang penduduk kampung telah masuk ke kawasan hutan Bubu di Senggeng, Perak untuk mencari rotan.

2. Penduduk kampung itu telah bergerak dalam dua buah kumpulan berasingan di dalam hutan dan menemui  bahagian bangkai pesawat tentera di  dua lokasi yang berbeza. 

3. Setelah bertemu semula di tempat yang telah dipersetujui, kedua-dua kumpulan tersebut masing-masing menceritakan tentang penemuan bangkai pesawat tentera. Kesimpulan telah dibuat bahawa bangkai pesawat tentera itu berasal daripada tentera 'orang putih', walaupun kedua-dua kumpulan telah menemui bahagian bangkai pesawat di lokasi yang berbeza.

4. Kumpulan pertama telah menemui ekor kapal terbang yang terputus di sebuah kawasan berhampiran bukit kecil yang hampir dengan sungai. Terdapat nombor pada bahagian ekor pesawat tersebut yang terpacak ke atas, manakala pada bahagian tepi atau badan pesawat tersebut tertulis perkataan 'The Air Transport Command' dan 'The US Army Air Force'. Keadaan peralatan di dalam bangkai pesawat tersebut umumnya masih berkeadaan baik. Salah satu barang yang telah ditemui adalah sepotong besi sepanjang kira-kira enam inci berbentuk bulat kecil, kira-kira sebesar ibu jari tangan orang dewasa. Besi tersebut dijumpai dalam keadaan sudah berkarat.

5. Kumpulan kedua telah menemui bahagian pesawat tentera di lokasi yang berbeza. Berikut adalah barang-barang yang diambil daripada bahagian bangkai pesawat terbabit oleh kumpulan kedua ini :
  • Seluar dan baju kelabu yang ada tanda tentera di bahagian dadanya
  • Beberapa kelongsong peluru
  • Baju dan seluar dalam perempuan
  • Tiga biji topi yang ada lambang tentera
  • Dua bekas air
  • Dua pasang kasut kulit
  • Pisau
  • Buku catatan
  • Selimut
  • Tiga keping gambar (dua keping menunjukkan gambar orang lelaki bersama keluarga masing-masing dan satu keping menunjukkan gambar seorang gadis bersama seorang lelaki tua) 

6. Kesemua penduduk kampung tersebut akhirnya mengambil keputusan untuk mencampakkan barang-barang yang mereka temui itu ke dalam unggun api, kerana bimbang dengan risiko keselamatan mereka, jika terserempak dengan kumpulan pengganas komunis di dalam kawasan hutan tersebut. Kumpulan penduduk kampung terbabit percaya  bahawa kumpulan pengganas komunis telah menawan dan membunuh kesemua anggota tentera Amerika Syarikat terbabit.

7. Sebagai tambahan, salah seorang daripada penduduk kampung itu kemudiannya menyatakan bahawa, pada suatu petang kira-kira tiga bulan sebelum penemuan ini, dia telah berada di Kampung Changkat dan melihat sebuah kapal terbang berlegar-legar rendah di kawasan hutan Bubu, Senggeng, Perak sebelum terus hilang.


Ekspedisi Garis Waktu oleh Angkatan Tentera Malaysia

1. Catatan pengalaman ini dapat membantu pihak berkenaan, terutamanya pihak Angkatan Tentera Malaysia yang telah melancarkan beberapa siri Ekspedisi Garis Waktu, dalam mengesan sejarah dan maklumat berkenaan penemuan bangkai pesawat pengangkut tentera di kawasan hutan Gunung Bubu terbabit.

2. Pelbagai teori telah dikemukakan berhubung punca nahas dan nasib krew serta juruterbang pesawat terbabit, di antaranya mengaitkan penglibatan kumpulan pengganas komunis dalam nahas ini. Semoga satu penyiasatan lanjut dapat dibuat bagi merungkai misteri ini.

2. Penemuan bangkai pesawat tersebut juga membuka suatu lembaran catatan baru dalam sejarah ketenteraan tanahair. Tidak ramai pihak yang menyedari bahawa pihak tentera Amerika Syarikat secara rahsia, pernah menjadikan Semenanjung Malaysia sebagai salah satu laluan udara bagi penerbangan pesawat tenteranya, ke mana-mana lokasi antarabangsa yang dikehendakinya. Fakta ini menunjukkan peri pentingnya Malaysia memiliki kekuatan tentera udara yang padu untuk mengawal setiap inci ruang udaranya.

3. Berikut saya sertakan artikel dari akhbar Berita Harian berhubung laporan penemuan bangkai pesawat terbabit pada 1 Mei 2010 lalu, untuk dibuat perbandingan dengan catatan sejarah penemuan pertamanya oleh penduduk kampung dalam tahun 1960-an.

.................................................................................................................................

Bangkai pesawat Perang Dunia Kedua ditemui

Oleh Kasdi Ali
bhnews@bharian.com.my
2010/05/01
Kapal terbang dipercayai milik AS berdasarkan logo tepi sayap

IPOH: Sekumpulan pembalak menemui bangkai sebuah pesawat pengangkutan Air Transport Command milik Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) yang dipercayai terhempas ketika Perang Dunia Kedua di Gunung Bubu, Bruas, kira-kira 50 kilometer dari sini.

Penemuan secara tidak sengaja bangkai pesawat berusia lebih 65 tahun itu berlaku ketika beberapa pekerja pembalakan menjalankan kerja menanda kawasan pembalakan baru.

Seorang pembalak yang enggan dikenali berkata, ia ditemui ketika beliau bersama beberapa rakannya merentas denai di kawasan hutan itu bagi menanda kawasan pembalakan baru kira-kira dua minggu lalu.

“Apabila tiba di satu kawasan cerun dengan ketinggian kira-kira 20 meter, seorang daripada kami terlihat objek bersinar di bawah cerun.

“Dia kemudian turun untuk melihatnya sebelum menjerit meminta kami semua turun.
“Saya terkejut apabila melihat objek itu ialah bahagian belakang sebuah pesawat besar yang terputus dua.

“Melihat kepada keadaan persekitarannya, saya percaya kami adalah orang pertama menemuinya,” katanya di sini, semalam.

Turut ditemui beberapa serpihan pesawat, enjin dan alat komunikasinya.
Namun, katanya mereka hanya menemui bahagian belakang pesawat dan tidak menjumpai bahagian depannya serta mengesyaki pesawat itu terputus ketika terhempas berdasarkan keadaan hutan di gunung ini yang tebal dan berbukit.

Sumber berkata, berdasarkan keadaan pesawat yang terputus dua, kemungkinan besar tiada sesiapa yang terselamat dalam insiden itu.

“Jika ada pun yang cedera, mereka tidak mampu bertahan lama kerana pesawat itu terhempas di hutan dan jauh dari kawasan penempatan orang. Status pesawat dan penumpang di dalamnya mungkin diisytiharkan sebagai hilang dalam tugasan (MIA).

“Saya berharap pihak bertanggungjawab memaklumkan kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) mengenai penemuan ini kerana memang jelas ia pesawat milik mereka,” katanya.

Mengikut rakaman video menggunakan telefon bimbit milik seorang pembalak menunjukkan pesawat itu milik AS berdasarkan logo pada tepi sayap pesawat yang tertera Air Transport Command (ATC) dan Tentera Udara AS (USAF).

Usaha wartawan akhbar ini untuk memasuki kawasan itu menemui jalan buntu kerana pembalak itu berkata, hanya rakannya yang dapat menunjuk arah ke lokasinya selain perjalanan ke kaki gunung memerlukan kenderaan pacuan empat roda yang tayarnya dipasang rantai.

Perjalanan menaiki kenderaan terbabit memakan masa selama dua jam sebelum diteruskan dengan berjalan kaki sekurang-kurangnya satu hingga dua jam.
Rakan beliau yang menjadi penunjuk arah dikatakan berada di luar negara atas urusan keluarga.

Perkhidmatan ATC digunakan antara 1942 hingga 1948. Misinya ialah memenuhi keperluan segera untuk memperteguhkan pangkalan ketenteraan AS di seluruh dunia ketika Perang Dunia Kedua.

ATC adalah pelopor kepada Military Air Transport Service (Servis Pengangkutan Ketenteraan Udara) pada 1948.

Tuesday, December 7, 2010

Grafiti Yang Menjahanamkan Hutan Belantara Malaysia

Aktiviti Vandalisme Lanun Hutan

1. Aktiviti kumpulan lanun hutan ini pernah dikesan kegiatannya dalam kawasan hutan di Utara Semenanjung Malaysia dan membawa sehingga ke kawasan hutan di Negeri Johor. Setelah segala sumber semulajadi di sesebuah kawasan hutan itu habis dieksploit, kumpulan ini akan segera bergerak ke kawasan hutan yang lain. Kumpulan lanun hutan ini beroperasi ibarat suatu wabak penyakit.

2. Tempoh kegiatan kumpulan ini boleh memakan masa sehingga berbulan-bulan lamanya. Dari masa ke semasa, orang tengah akan datang membawa bekalan keperluan seperti bahan makanan kering, ubat-ubatan dan sebagainya ke lokasi pinggir hutan yang telah ditetapkan. Kumpulan ini akan hanya menamatkan aktiviti mereka, setelah memperolehi sejumlah kuantiti hasil sumber semulajadi yang memuaskan hati mereka.

3. Dalam tempoh beroperasi di dalam hutan yang memakan masa sehingga berbulan-bulan itu, aktiviti-aktiviti hiliran mereka termasuklah melakar luahan perasaan dan membuat tanda-tanda isyarat, yang hanya mereka sahaja faham maksudnya pada mana-mana pokok balak yang tidak bernasib baik. Aktiviti melakar kulit kayu pokok-pokok ini dilakukan dengan menggunakan peralatan mencungkil pokok kayu gaharu seperti pepahat dan sebagainya.

4. Sekali mereka menoreh kulit pokok menggunakan peralatan yang bermata tajam, grafiti itu akan kekal selama bertahun-tahun pada kulit pokok tersebut, lantaran luka pada kulit pokok yang sangat dalam torehannya.

5. Grafiti-grafiti yang kekal pada batang pokok kayu balak di dalam hutan ini, adalah ciri khas kepada kesan jejak tinggalan aktiviti kumpulan lanun hutan. Jenis peralatan yang digunakan untuk menghasilkan lakaran tersebut adalah unik kepada jenis peralatan yang digunakan oleh kumpuan ini untuk mengekstrak kayu gaharu yang dicuri, ketika berada di dalam hutan Malaysia.


Grafiti Tinggalan Aktiviti Mencuri Sumber Semulajadi Malaysia   

Grafiti oleh anggota kumpulan lanun hutan yang
mungkin berfungsi sebagai tanda amaran bahawa
pasukan keselamatan Malaysia beroperasi
di sekitar kawasan hutan berkenaan.

Hanya anggota kumpulan lanun hutan yang
memahami maksud di sebalik tanda torehan
berupa simbol ketam di tengah pokok tersebut.

Grafiti berupa campuran simbol isyarat
dan lakaran bebas yang tidak difahami.
 
Secara sinis, tafsiran pertama saya bagi torehan ini adalah anggota
kumpulan lanun hutan cuba menyampaikan mesej bahawa terdapat
sejenis makhluk berkeliaran di sekitar kawasan hutan berkenaan.

Secara sinis, pertama kali saya melihat grafiti ini, saya
membayangkan bahawa lakaran tersebut menceritakan bahawa
anggota kumpulan lanun hutan selalu 'berjogging' di dalam hutan.


Secara sinis, torehan pada pokok kayu balak ini
mungkin sebagai ekspresi kegembiraan anggota
kumpulan lanun hutan apabila melihat monyet
bergayutan pada dahan pokok di dalam hutan.

Friday, December 3, 2010

Operasi Membanteras Kumpulan Lanun Di Dalam Hutan Belantara Malaysia

Lanun Hutan

1. Semenjak Parti Komunis Malaya (PKM) meletak senjata pada 2 Disember 1989, umumnya operasi hutan ATM telah berkurangan, namun soal kawalan keselamatan negara tidak pernah dikompromikan. Hanya kaedah dan pendekatannya sahaja yang sudah mula dikemaskini. Hakikatnya, operasi-operasi hutan samada oleh ATM ataupun PDRM masih terus berjalan tanpa publisiti kepada masyarakat umum.

2. Khazanah hutan belantara di Malaysia terlalu banyak dan bernilai tinggi di pasaran antarabangsa. Senario baru dunia kini menyaksikan hidupan liar dijadikan hidangan eksotik, kayu kayan dieksport dengan nilai jutaan ringgit, kawasan perlombongan galian baru diterokai dan kawasan tadahan air ditukar kepada hartanah mewah.

3. Ketika masyarakat kita sibuk dengan kehidupan moden di kota, sumber khazanah semulajadi kita dieksploit oleh warganegara asing yang datang ke Malaysia dengan membawa kemahiran yang jarang dimiliki oleh warga kita sendiri.

4. Kumpulan lanun hutan ini lazimnya terdiri daripada warganegara Thailand yang sudah biasa membuat kerja-kerja hutan seperti memburu haiwan, menebang pokok gaharu dan mengutip pelbagai khazanah hutan yang kita sendiri pun sebagai warga Malaysia, tidak tahu tentang potensi ekonomi sumber tersebut.

5. Kumpulan ini datang ke Malaysia setelah kebanyakkan sumber sasaran mereka dalam hutan negara mereka sendiri, sudah semakin berkurangan dan tandus. Dengan bantuan rakyat tempatan yang tamak sebagai orang tengah, mereka mengalihkan segala modus operandi, kepakaran dan pengetahuan yang mereka miliki ke dalam kawasan hutan belantara negara kita.

6. Berikut adalah paparan operasi pembersihan hutan yang dilaksanakan dari masa ke semasa oleh pasukan keselamatan Malaysia terhadap kegiatan kumpulan lanun hutan ini dalam tahun penghujung 1990-an dan awal 2000-an.









* Sebagai rakyat biasa, banyak lagi perkara dan kejadian yang melibatkan negara kita sendiri yang tidak kita ketahui, terutamanya cerita-cerita di luar lingkungan kebiasaan. Kelompok yang paling banyak mengetahui tentang cerita-cerita yang luar biasa tentang negara kita secara langsung, pastinya datang dari kelompok tertentu dalam ATM atau PDRM.

Thursday, December 2, 2010

Kehidupan Serba Ringkas Dari Perkampungan Orang Asli

Ekonomi Sara Diri Orang Asli

1. Saya sangat sukakan masyarakat Orang Asli dan suasana kehidupan di perkampungan mereka. Kehidupan mereka tenang dan membayangkan suasana kehidupan masyarakat Melayu dalam era sebelum kemerdekaan negara Malaysia. Pernah saya berkira-kira untuk tinggal bersama-sama mereka di dalam hutan, jauh daripada kebisingan dan kesesakan lalu lintas jalan raya, tekanan orang atasan dalam soal pekerjaan dan sikap mengejar kemajuan kebendaan.

2. Jika saya memilih untuk tinggal di perkampungan Orang Asli, mungkin saya akan bercucuk-tanam, membela haiwan ternakan dan masuk ke hutan dari masa ke semasa untuk memburu, memasang jerat dan memungut hasil hutan, dengan banyak perkara dan teknik perlu saya pelajari daripada Orang Asli yang sudi berkawan dengan saya.

3. Jika saya tinggal di sana dan mengamalkan ekonomi sara diri, saya tidak perlu lagi meneliti maklumat kandungan pada bungkusan barangan yang saya beli dari pasaraya atau kedai, samada mengandungi bahan-bahan yang meragukan seperti bahan kimia dengan awalan kod E.

4. Saya pernah bertanya kepada seorang Orang Asli kenapa mereka tidak mahu keluar dari hutan dan hidup bersama-sama masyarakat moden. Jawapannya masih melekat dalam fikiran saya sehingga ke hari ini. Mereka sedar dan tidak mahu memegang taraf hidup sebagai orang yang miskin, tanpa tanah dan tanpa apa-apa, dengan keluar dari hutan untuk hidup dalam ketamadunan manusia moden.

Bercucuk tanam


Dalam hutan kalau boleh jumpa ulam kampung macam Terung Pipit,
 memang baru terasa insaf  betapa besar nikmat daripada-Nya.

  
Saudara jauh saya daripada masyarakat Orang Asli sedang membantu memetik ulam Terung Pipit.
Semoga Allah memberikan hidayah kepada mereka.

Pakcik jauh saya sedang memetik ulam pucuk Ubi Kayu hasil tanamannya sendiri
 tanpa menunjukkan sebarang sifat kedekut.


Memburu haiwan

1. Orang Asli memburu semua haiwan yang boleh didapati dari dalam hutan. Tapi saya mendapati ada satu suku kaum Orang Asli di semenanjung yang tidak memburu atau membunuh Kijang. Satu lagi pantang adalah berkenaan Harimau Belang dan haiwan sekeluarga dengannya.

2. Sebagai orang Islam, saya tidak boleh makan haiwan liar sebarangan. Tetapi malangnya dalam dua kejadian berasingan, saya telah memakan haiwan yang sebenarnya haram dimakan oleh orang Islam. Pada waktu kejadian, saya menyangkakan hukum memakannya makruh kerana daifnya ilmu pengetahuan agama saya. Selepas keluar dari hutan, saya mencari hukum memakan haiwan berkenaan dan barulah saya faham bahawa bukan babi dan anjing sahaja yang hukumnya haram dimakan dalam agama Islam.

Gambar mangsa pemburuan Orang Asli daripada spesies haiwan karnivor.
Perhatikan taring runcing pada tengkorak haiwan tersebut.

Ada Orang Asli yang suka menyimpan tanda kenang-kenangan hasil pemburuan mereka.
Tengkorak tergantung ini adalah tengkorak Babi Hutan.



 Memungut Hasil Hutan

1. Saya sangat sukakan tumbuhan parasit Pokok Bunga Pakma. Tapi malangnya ada segelintir manusia yang hidup di kawasan kota batu yang menawarkan upah kepada masyarakat Orang Asli untuk menuai tumbuhan ini dari hutan. Harga bagi sekilogram Pokok Bunga Pakma yang telah dikeringkan dibeli dengan harga yang lebih mahal oleh orang tengah, berbanding Pokok Bunga Pakma yang masih basah.

2. Satu lagi aktiviti masyarakat Orang Asli adalah memungut hasil kayu gaharu dari dalam hutan. Aktiviti ini juga adalah hasil daripada permintaan dan upah daripada orang tengah.


Penawaran daripada orang tengah sedang memusnahkan
satu lagi khazanah hutan Malaysia dalam bentuk Pokok Bunga Pakma.
Kerajaan mungkin telah terlepas pandang dalam perkara terpencil seperti ini.