“Islam itu tak beku, sesuai pada setiap zaman. Tetapi, para penganutnya sendiri yang membuat Islam tu jadi beku. Mudah saja, apa yang dicari orang hari ini, sudah ada dalam Islam sejak beratus tahun dulu, sama ada tentang kehidupan di langit, di bumi dan di laut. Malah kejadian budak dalam perut ibunya sudah dinyatakan dalam Al-Quran. Sayangnya orang Islam sendiri tak mau mencarinya. Kalau hidup berpegangkan ajaran agama, selamat kita dunia akhirat.”

Wednesday, January 12, 2011

Legasi Kumpulan Selempang Merah Di Malaysia

Kesinambungan Perjuangan Allahyarham Panglima Salleh

1. Nama Panglima Salleh sangat terkenal dan sinonim dengan perjuangan membasmi komunis di Negeri Johor sewaktu era pra kemerdekaan Malaysia. Perjuangan suci yang berteraskan pegangan kepada Agama Islam dan jihad itu terus meninggalkan legasinya sehingga ke hari ini.

2. Panglima Salleh dikatakan sebagai seorang yang taat kepada ajaran Agama Islam, sesuai dengan perwatakan kebanyakan orang-orang berketurunan Banjar di Semenanjung Malaysia pada ketika itu. Beliau sinonim dengan amalan Wirid Khaujakan.

3. Saya pernah mengenali seseorang yang saya percaya telah menerima ijazah, iaitu telah diiktiraf tamat latihan atau pengajian dalam bidang yang bersangkut paut dengan Tarekat Naqsyabandiyah. Saya mengetahui beberapa bacaan ayat suci yang mungkin dikenali sebagai 'Ayat Empat' dan rakan saya ini mengesahkan tentang amalan ayat-ayat suci Al-Quran berkenaan.

4. Boleh jadi amalan atau pengetahuan saya itu tidaklah pada taraf ilmu orang yang telah diijazahkan, tetapi sesungguhnya Allah Maha Pemurah dan berkuasa memakbulkan mana-mana doa atau permintaan hamba-hamba-Nya. 

5. Sahabat saya ini pernah seperti dalam keadaan 'kepanasan'. Banyak orang sekeliling yang perasan atau sedar tentang keadaan beliau pada ketika itu. Saya tidak berani membuat kesimpulan tentang perkara tersebut.

6. Saya pernah mendengar cerita tentang tahap 'kepanasan' yang lebih teruk yang dialami oleh seorang bekas tentera yang pernah mempelajari amalan tertentu yang berkesinambungan daripada perjuangan Kumpulan Selempang Merah. Ketika masih dalam perkhidmatan tentera, beliau menggunakan ilmu yang dipelajarinya itu dalam operasi membanteras pengganas komunis di dalam hutan.

7. Malangnya setelah bersara, beliau mulai lalai dan banyak melakukan amalan yang bercanggah dengan tuntutan Agama Islam. Akibatnya, beliau bersikap seperti orang yang berada dalam keadaan 'kepanasan' dalam suatu tempoh yang agak lama. Beliau akhirnya berjaya dipulihkan dan setelah itu meninggalkan segala perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Agama Islam. 

8. Ketika Tragedi 13 Mei 1969, sekumpulan orang Islam yang berasal dari Negeri Johor telah datang ke Kuala Lumpur untuk berjihad membantu saudara-saudara seagamanya, sebelum perjalanan kumpulan tersebut ditegah oleh pihak PDRM.

9. Selagi ajaran Agama Islam menjadi teras, legasi Kumpulan Selempang Merah akan terus kekal di muka bumi Malaysia sehingga ke hari ini. Apabila maruah Agama Islam dipermainkan di bumi Malaysia ini, maka akan muncul pemuda-pemuda Islam dari segenap penjuru negeri yang berani untuk meraih syahid.

10. Berikut saya paparkan semula gambar-gambar yang saya ambil daripada laman web http://faiezie.multiply.com/ tentang perkumpulan orang-orang Islam di Negeri Johor dalam tahun 2000-an, yang datang daripada pelbagai latar belakang yang berbeza. Kesatuan mereka menggambarkan kesinambungan legasi perjuangan Allahyarham Panglima Salleh. 


















* Penggunaan istilah 'ijazah' dalam artikel ini membawa pengertian bahawa seseorang itu telah menerima pengiktirafan rasmi daripada gurunya setelah tamat pengajian dalam sesebuah perguruan. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah dan tidak ada perantara di antara-Nya dengan setiap hamba-Nya.

Thursday, January 6, 2011

Kepintaran Seekor Tupai Memanipulasi Teknologi Manusia

Sauna Udara Panas Seekor Tupai 

1. Saya ingin berkongsi pengalaman menyaksikan karenah seekor tupai yang sedang asyik menikmati semburan udara panas yang dihasilkan oleh 'Output Unit' Alat Penghawa Dingin.  Agak menarik apabila saya berpeluang menyaksikan bagaimana haiwan liar berupaya menggunakan teknologi ciptaan manusia untuk memberi faedah kepada dirinya sendiri. Kejadian ini saya rakamkan berlaku di sebuah premis bangunan di kawasan Kuala Lumpur dalam tahun 2009.

2. Kejadian ini mengingatkan saya tentang satu peristiwa yang diceritakan kepada saya oleh seorang veteran, tentang tabiat satu keluarga Harimau Belang di sebuah kawasan pedalaman di Negeri Pahang. Beberapa ekor Harimau Belang yang dipercayai berasal dari satu keluarga, akan keluar daripada kawasan hutan pada waktu malam, untuk bermain dan berbaring santai di bawah tiang lampu elektrik di tepi sebuah jalan di kawasan pedalaman.

3. Perbuatan keluarga harimau tersebut menggunakan cahaya dari tiang lampu elektrik pada waktu malam di pinggir hutan, menjadi satu contoh kes yang spesifik tentang bagaimana hidupan liar berupaya untuk menggunakan nalurinya bagi membuat penyesuaian terhadap perubahan, yang berlaku dalam kawasan persekitarannya.

4. Tidak dapat dipastikan faedah yang diperolehi oleh keluarga Harimau Belang tersebut hasil daripada perbuatan bermandikan cahaya lampu elektrik di tepi jalan pedalaman. Perbuatan tersebut mungkin sekadar satu peluang yang dimanfaatkan bagi mengurangkan serangan nyamuk dan agas ataupun sebagai satu sesi interaksi bagi merapatkan hubungan kekeluargaan harimau-harimau tersebut. 

5. Berikut saya paparkan gambar-gambar tentang bagaimana seekor haiwan liar yang kecil saiznya,  dapat melakukan perbuatan yang menggambarkan kepintaran dan kebolehannya untuk bertoleransi dan memanipulasi perubahan, yang dilakukan oleh manusia terhadap persekitarannya.

'Output Unit' Alat Penghawa Dingin ini dalam keadaan berfungsi.
Arah semburan keluar udaranya menuju terus ke arah
 kedudukan tupai seperti dalam gambar.

Walaupun dalam keadaan sedang menikmati semburan udara panas
yang mengasyikkan, matanya sentiasa berjaga-jaga
 dan peka terhadap keadaan persekitaran. 

Perhatikan postur tubuh tupai ini yang berada dalam
 keadaan tenang dan santai.

Sang Tupai mulai menegakkan kepala setelah menyedari
 saya sedang memerhatikan segala tingkah lakunya.

Sang Tupai memberi reaksi kurang senang terhadap kehadiran diri saya.
 Perhatikan bulu ekornya yang mengembang dengan cantik
 setelah dikeringkan oleh semburan udara panas.

Sang Tupai sedang membuat penilaian risiko terhadap kehadiran diri saya
 berhampiran kawasan istirehatnya.


Wednesday, January 5, 2011

Operasi Bukan Tempur Oleh ATM Dan PDRM Di Dalam Belantara Malaysia

Membanteras Aktiviti Mencuri Khazanah Semulajadi Negara

1. Saya percaya bahawa ramai rakyat Malaysia yang sudah mengetahui bahawa ATM juga turut melaksanakan tugas-tugas yang berbentuk bukan hakiki, iaitu tugas bukan tempur, ketika beroperasi di dalam hutan belantara Malaysia.

2. Sesuai dengan peranan tugasan di waktu aman, ATM telah meluaskan skop operasi mereka kepada aspek-aspek bukan tempur seperti membanteras aktiviti pembalakan dan pemburuan haram serta menahan rakyat asing yang masuk ke dalam hutan belantara Malaysia untuk mengekspoit sumber hutan negara secara tidak sah. 

3. Sebagai contoh, dalam Operasi Kota Bravo/Charlie/Delta Siri 3/05, ATM telah berjaya merampas dua laras senjatapi daripada Warganegara Thailand yang memburu secara haram di dalam kawasan hutan Negeri Kedah pada tahun 2005. Maklumat tentang kejayaan operasi ATM ini diperolehi daripada laman blog http://7renjer.blogspot.com/.

4. Tidak banyak maklumat yang diketahui tentang operasi atau pencapaian PDRM dalam aktiviti membanteras kumpulan lanun hutan ini. Walau bagaimanapun, saya percaya bahawa pihak PDRM tidak berdiam diri  dalam soal memantau aktiviti kumpulan warganegara asing yang mencuri sumber semulajadi dari dalam hutan belantara Malaysia.

5. PDRM sendiri diketahui memiliki unit-unit yang beroperasi dalam persekitaran hutan belantara dan sebagainya. Dalam hal ini, unit PDRM yang terunggul adalah Pasukan Komando 69. 

6. Berikut adalah dua keping gambar yang diambil di lokasi bekas tapak perkhemahan kumpulan lanun hutan di dalam hutan belantara Malaysia. Kedua-dua keping gambar itu menjadi bukti kepada operasi dan peranan yang dimainkan oleh unit-unit ATM dan PDRM dalam membanteras aktiviti kumpulan lanun hutan.


Bekas paket Rangsum Tempur ATM yang ditemui di bekas
tapak perkhemahan kumpulan lanun hutan. Mungkin kesemua
anggota kumpulan tersebut telah ditahan oleh unit ATM yang terlibat.

Bekas tin makanan milik unit PDRM yang ditemui di bekas
 tapak perkhemahan kumpulan lanun hutan. Mungkin relik tinggalan
 operasi khas PDRM dalam membanteras aktiviti kumpulan tersebut.


Sunday, January 2, 2011

Penemuan Cicak Ekor Bercabang Dua

Keunikan Kejadian Mahkluk Ciptaan Allah

1. Sesuatu yang berbeza itu biasanya akan bersifat menarik perhatian manusia. Tetapi jenis perbezaan itu yang akan menentukan samada manusia menyukainya atau membencinya. Tetapi, saya percaya setiap kejadian ciptaan Allah itu ada ruang yang tersendiri untuknya di atas muka Bumi ini.

2. Saya berkesempatan melihat dan mengurung seekor cicak yang unik dalam simpanan saya. Ekor cicak itu jelas bercabang di hujungnya. Saya ada mengambil beberapa keping gambar foto sebagai bukti penemuan saya itu.

3. Saya bencikan tahi cicak. Tambahan pula kalau tahi cicak itu saya temui di tengah-tengah ruang tamu rumah, terpijak di kaki ketika saya sedang dalam keadaan berwuduk atau ditemui dalam keadaan kering di mana-mana celah sudut rumah.

4. Walau bagaimanapun, pada satu hari dalam tahun 2010, saya terlihat kelibat seekor cicak rumah di celah tingkap dapur rumah saya. Saya segera mencapai sesuatu dan cuba menikam cicak itu. Tikaman saya itu tersasar dan cicak tersebut yang terkejut segera melarikan diri sehingga terbabas ke dalam sinki dapur. Ketika itulah saya menyedari ada sesuatu yang pelik tentang cicak tersebut. Setelah saya pasti bahawa cicak itu tidak dapat memanjat dinding sinki dapur yang licin, saya tersenyum.

5. Pada ketika itu, perkara pertama yang saya fikirkan adalah segera mengecas bateri kamera digital saya. Setelah mengambil beberapa keping gambar foto, saya mengurung cicak itu di dalam satu bekas platik bertutup. Saya mengisikan surat khabar yang direnyukkan sebagai perlindungan dan beberapa ekor semut hitam sebagai makanan cicak tersebut.

6. Perkara kedua yang terlintas dalam fikiran saya adalah untuk menjual cicak itu kepada mana-mana kedai haiwan peliharaan eksotik. Saya pasti bahawa sekurang-kurangnya saya akan ditawarkan RM200 atau RM300 untuk cicak yang memiliki ekor bercabang itu.  

7. Kebetulan pada ketika itu, saya menerima panggilan telefon daripada seseorang yang agak tinggi pengetahuan ilmu agamanya. Saya bertanyakan perihal penemuan saya itu dan keinginan saya untuk menjualnya.

8. Bermula daripada panggilan itu, niat untuk menjual cicak tersebut telah saya pertimbangkan semula. Saya difahamkan bahawa memang terdapat tatacara atau syarat-syarat tertentu dalam urusan berjual beli haiwan mengikut Agama Islam.

9. Pada pemahaman saya, di antara syarat-syarat berjual beli haiwan mengikut Agama Islam adalah pada asasnya haiwan itu diperlukan manusia samada sebagai makanan, pengangkutan atau sebagainya iaitu ada unsur-unsur untuk kepentingan atau kebaikan manusia. Tetapi jika haiwan itu dijual beli untuk tujuan dikurung bagi tujuan hiburan manusia, timbul keraguan bagi saya dalam hal ini. Boleh jadi saya salah atau kurang tepat di mana-mana dalam hal ini.

10. Akhirnya saya melepaskan semula cicak berekor dua itu di belakang rumah saya setelah sehari dan semalan saya mengurungnya di dalam bekas plastik bertutup. Kali terakhir saya melihat cicak berekor dua itu adalah ketika saya sedang menyiram pokok di belakang rumah saya. Ketika itu saya melihat cicak berekor dua itu sedang mengunyah semut api yang membentuk barisan masuk ke dalam rumah saya.