“Islam itu tak beku, sesuai pada setiap zaman. Tetapi, para penganutnya sendiri yang membuat Islam tu jadi beku. Mudah saja, apa yang dicari orang hari ini, sudah ada dalam Islam sejak beratus tahun dulu, sama ada tentang kehidupan di langit, di bumi dan di laut. Malah kejadian budak dalam perut ibunya sudah dinyatakan dalam Al-Quran. Sayangnya orang Islam sendiri tak mau mencarinya. Kalau hidup berpegangkan ajaran agama, selamat kita dunia akhirat.”

Friday, February 11, 2011

Flora Unik Dari Dalam Hutan

Pokok Alah Ular

1. Tumbuhan menjalar ini saya temui di dalam sebuah hutan di Negeri Perak dalam tahun 2007 atau 2008 yang lalu. Seorang kenalan telah memperkenalkan pokok ini kepada saya sebagai Pokok Alah Ular.

2. Ukur lilit batang pokok ini berukuran kurang lebih 1 sentimeter. Pokok ini menjalar dan merayap di atas permukaan tanah dengan sesulur dan akarnya yang lain mencengkam pada batang pokok balak. Sulur pokok ini bukanlah struktur berkayu seperti batang pokoknya. Sewaktu ditemui, tidak kelihatan sebarang struktur bunga atau buah pada pokok tersebut.

3. Seingat saya, daun bagi pokok ini berbentuk hampir tirus atau hampir oblong. Warna daunnya juga seingat saya menyamai warna pucuk daun pisang, iaitu seperti berwarna hijau muda. Daun pokok ini tumbuh di sepanjang batangnya dalam jarak beberapa sentimeter dari satu sama lain.

4. Apa yang menarik tentang pokok ini adalah batangnya bersisik-sisik seperti kulit ular. Susunan sisik pada batang pokok tersebut mungkin memberi kelebihan kepada pokok tersebut untuk menjalar atau memanjat pokok-pokok yang lain.

5. Warna batang pokok ini adalah campuran warna merah dan beberapa warna yang kelihatan seperti warna 'metallik' apabila terkena sinaran matahari, iaitu menyerupai warna kulit beberapa spesies ular.

6. Sayangnya apabila batang pokok tersebut dikeringkan untuk disimpan, keseluruhan warnanya berubah menjadi warna keperangan atau kecoklatan dan sisik-sisik pada batang pokok tersebut juga menjadi mudah tertanggal dari batangnya.

7. Sewaktu menemuinya, saya tidak terfikir untuk mengambil dan menyimpan daun pokok tersebut, bagi memudahkan proses membuat pengecaman pada masa hadapan. Sehingga ke hari ini, saya masih belum dapat mengenalpasti spesies sebenar pokok jenis menjalar ini.












Friday, February 4, 2011

Burung Enggang Menziarahi Burung Hantu

Burung Enggang Bertandang Ke Rumah Sarang Burung Jampuk

1.  Dalam sekitar tahun 2008, ketika berada di kawasan Sekinchan, Selangor, saya telah menyaksikan telatah empat ekor Burung Enggang yang kelihatan meninjau-ninjau ke dalam rumah sarang Burung Hantu di sebuah kawasan Sawah Padi.

2. Burung Enggang tersebut tidak masuk secara keseluruhan badan ke dalam rumah sarang burung tersebut. Mungkin kerana faktor keadaan dalam rumah sarang burung tersebut yang gelap, atau dihalang oleh Burung Hantu yang berada di dalamnya.

3. Pada mulanya, saya menjangkakan bahawa Burung Enggang tersebut akan cuba untuk menangkap dan memakan anak-anak Burung Hantu yang berada di dalam rumah sarang burung tersebut. Tetapi, sehinggalah Burung Enggang tersebut terbang meninggalkan rumah sarang Burung Hantu tersebut, saya tidak menyaksikan sebarang objek berada di dalam mulutnya.

4. Burung Enggang diketahui sebagai sejenis burung yang makan serba serbi. Diet pemakanannya termasuklah ular, cicak, katak, buah-buahan dan sebagainya. Burung Hantu pula adalah sejenis burung karnivor yang bersifat nokturnal, iaitu aktif di waktu malam. Pada waktu siang, burung ini biasanya hanya tidur di dalam sarangnya.

5. Rumah sarang Burung Hantu tersebut dibina oleh manusia bagi tujuan kawalan biologi ke atas makhluk perosak tanaman padi seperti tikus. Daripada keadaan fizikalnya yang kelihatan masih elok dan sempurna, saya percaya bahawa rumah sarang burung tersebut  sentiasa diselengggara dan diperiksa secara berkala oleh pihak Jabatan Pertanian. 

6. Agak tidak ekonomik untuk pihak Jabatan Pertanian mengeluarkan kos untuk membina dan menyelenggara rumah tersebut, tetapi membiarkannya kosong dengan tidak diduduki oleh mana-mana Burung Hantu. Saya juga percaya bahawa  Burung Hantu yang mati akan segera diganti dengan stok yang baru.