“Islam itu tak beku, sesuai pada setiap zaman. Tetapi, para penganutnya sendiri yang membuat Islam tu jadi beku. Mudah saja, apa yang dicari orang hari ini, sudah ada dalam Islam sejak beratus tahun dulu, sama ada tentang kehidupan di langit, di bumi dan di laut. Malah kejadian budak dalam perut ibunya sudah dinyatakan dalam Al-Quran. Sayangnya orang Islam sendiri tak mau mencarinya. Kalau hidup berpegangkan ajaran agama, selamat kita dunia akhirat.”

Tuesday, December 28, 2010

Kaki Makan Air

Kecederaan Kecil Yang Membantutkan Pergerakan

1. Pengalaman ketika berjalan jauh di dalam hutan dalam keadaan sarung kaki dan kasut sentiasa basah dan lembap, manis apabila dikenang kembali tetapi sangat perit ketika diri sendiri merasakannya.

2. Jika berjalan di dalam hutan dalam keadaan musim hujan, tambahan pula setiap hari terpaksa meranduk sungai atau berjalan menyusuri sungai,  kulit kaki akan terdedah kepada risiko yang tinggi untuk mengalami apa yang saya panggil sebagai keadaan 'kaki makan air' atau 'kaki kena kutu air'.

3. Dalam musim hujan, tanah yang dipijak menjadi lumpur yang melekat pada tapak kasut yang dipakai dan memberatkan langkah kaki. Ada kalanya tanah lumpur tersebut memercik masuk sehingga meresap ke dalam sarung kaki.

4. Pasir-pasir sungai yang halus mudah untuk masuk ke dalam sarung kaki dan kasut. Dengan setiap pergerakan kaki yang melangkah di dalam hutan, kulit kaki yang telah mengecut akan mudah terluka akibat geseran dengan pasir yang terhimpun dalam kasut atau sarung kaki.

5. Berehat di waktu malam akan memberi peluang untuk mengeringkan kulit kaki yang mengecut. Penggunaan serbuk bedak dapat membantu memberi kesegaran kepada kulit kaki dan mempercepatkan proses pengeringan. Tetapi, tidak ada jaminan kepada kulit kaki bahawa perjalanan esok hari di dalam hutan akan bebas daripada unsur-unsur air dan kelembapan. 

6. Dengan menggunakan unggun api, kasut dan sarung kaki yang lembap mungkin boleh dikeringkan, tetapi dalam keadaan tanah yang lembap, proses menyalakan unggun api mungkin akan memakan masa yang lebih lama dari kebiasaan. Pada waktu malam, adalah tidak mustahil untuk mengeringkan tubuh badan dan pakaian. Tetapi adalah agak mustahil untuk kekal kering dalam perjalanan merentas hutan pada keesokan harinya.

7. Seseorang yang sudah memiliki pengalaman 'masuk hutan' selama bertahun-tahun sekalipun, tidak boleh menjangka atau mengelak daripada risiko mengalami jenis kecederaan pada kulit kaki ini. 


Kulit tapak kaki mengecut kerana pendedahan
kepada kelembapan dalam tempoh lama.

Luka-luka kecil mula terbentuk pada kulit kaki akibat geseran
dengan tekstil kain sarung kaki atau pasir sungai.

Keadaan kulit tapak kaki akibat pendedahan berterusan
kepada kelembapan.

Apabila kasut dan sarung kaki dibuka, pedihnya akan dirasakan apabila
luka kecil yang belum kering bersentuh dengan apa-apa objek,
 meskipun sekecil daun rumput.

No comments:

Post a Comment