Pendahuluan
1. Pada 1 Mei 2010, satu laporan berkaitan penemuan bangkai kapal terbang tentera yang terhempas di kawasan hutan berhampiran Gunung Bubu, Perak telah disiarkan di dalam akhbar.
2. Satu kumpulan pembalak telah menemui sisa kapal terbang tersebut dan telah melaporkan penemuan tersebut kepada akhbar Berita Harian, dengan membuat satu rakaman video sebagai bukti penemuan tersebut.
3. Sebenarnya lebih kurang 40 tahun sebelum itu, sudah ada sekumpulan penduduk kampung yang telah terlebih dahulu menemui bangkai pesawat tentera itu di lokasi nahas.
4. Catatan ini cuba menyorot kembali kronologi pengalaman kumpulan penduduk kampung terbabit, sebagaimana maklumat yang saya olah kembali daripada satu sumber.
Penemuan Pertama Oleh Penduduk Kampung
1. Dalam tahun sekitar 1960-an, enam orang penduduk kampung telah masuk ke kawasan hutan Bubu di Senggeng, Perak untuk mencari rotan.
2. Penduduk kampung itu telah bergerak dalam dua buah kumpulan berasingan di dalam hutan dan menemui bahagian bangkai pesawat tentera di dua lokasi yang berbeza.
3. Setelah bertemu semula di tempat yang telah dipersetujui, kedua-dua kumpulan tersebut masing-masing menceritakan tentang penemuan bangkai pesawat tentera. Kesimpulan telah dibuat bahawa bangkai pesawat tentera itu berasal daripada tentera 'orang putih', walaupun kedua-dua kumpulan telah menemui bahagian bangkai pesawat di lokasi yang berbeza.
4. Kumpulan pertama telah menemui ekor kapal terbang yang terputus di sebuah kawasan berhampiran bukit kecil yang hampir dengan sungai. Terdapat nombor pada bahagian ekor pesawat tersebut yang terpacak ke atas, manakala pada bahagian tepi atau badan pesawat tersebut tertulis perkataan 'The Air Transport Command' dan 'The US Army Air Force'. Keadaan peralatan di dalam bangkai pesawat tersebut umumnya masih berkeadaan baik. Salah satu barang yang telah ditemui adalah sepotong besi sepanjang kira-kira enam inci berbentuk bulat kecil, kira-kira sebesar ibu jari tangan orang dewasa. Besi tersebut dijumpai dalam keadaan sudah berkarat.
5. Kumpulan kedua telah menemui bahagian pesawat tentera di lokasi yang berbeza. Berikut adalah barang-barang yang diambil daripada bahagian bangkai pesawat terbabit oleh kumpulan kedua ini :
- Seluar dan baju kelabu yang ada tanda tentera di bahagian dadanya
- Beberapa kelongsong peluru
- Baju dan seluar dalam perempuan
- Tiga biji topi yang ada lambang tentera
- Dua bekas air
- Dua pasang kasut kulit
- Pisau
- Buku catatan
- Selimut
- Tiga keping gambar (dua keping menunjukkan gambar orang lelaki bersama keluarga masing-masing dan satu keping menunjukkan gambar seorang gadis bersama seorang lelaki tua)
6. Kesemua penduduk kampung tersebut akhirnya mengambil keputusan untuk mencampakkan barang-barang yang mereka temui itu ke dalam unggun api, kerana bimbang dengan risiko keselamatan mereka, jika terserempak dengan kumpulan pengganas komunis di dalam kawasan hutan tersebut. Kumpulan penduduk kampung terbabit percaya bahawa kumpulan pengganas komunis telah menawan dan membunuh kesemua anggota tentera Amerika Syarikat terbabit.
7. Sebagai tambahan, salah seorang daripada penduduk kampung itu kemudiannya menyatakan bahawa, pada suatu petang kira-kira tiga bulan sebelum penemuan ini, dia telah berada di Kampung Changkat dan melihat sebuah kapal terbang berlegar-legar rendah di kawasan hutan Bubu, Senggeng, Perak sebelum terus hilang.
Ekspedisi Garis Waktu oleh Angkatan Tentera Malaysia
1. Catatan pengalaman ini dapat membantu pihak berkenaan, terutamanya pihak Angkatan Tentera Malaysia yang telah melancarkan beberapa siri Ekspedisi Garis Waktu, dalam mengesan sejarah dan maklumat berkenaan penemuan bangkai pesawat pengangkut tentera di kawasan hutan Gunung Bubu terbabit.
2. Pelbagai teori telah dikemukakan berhubung punca nahas dan nasib krew serta juruterbang pesawat terbabit, di antaranya mengaitkan penglibatan kumpulan pengganas komunis dalam nahas ini. Semoga satu penyiasatan lanjut dapat dibuat bagi merungkai misteri ini.
2. Penemuan bangkai pesawat tersebut juga membuka suatu lembaran catatan baru dalam sejarah ketenteraan tanahair. Tidak ramai pihak yang menyedari bahawa pihak tentera Amerika Syarikat secara rahsia, pernah menjadikan Semenanjung Malaysia sebagai salah satu laluan udara bagi penerbangan pesawat tenteranya, ke mana-mana lokasi antarabangsa yang dikehendakinya. Fakta ini menunjukkan peri pentingnya Malaysia memiliki kekuatan tentera udara yang padu untuk mengawal setiap inci ruang udaranya.
3. Berikut saya sertakan artikel dari akhbar Berita Harian berhubung laporan penemuan bangkai pesawat terbabit pada 1 Mei 2010 lalu, untuk dibuat perbandingan dengan catatan sejarah penemuan pertamanya oleh penduduk kampung dalam tahun 1960-an.
.................................................................................................................................
Bangkai pesawat Perang Dunia Kedua ditemuiOleh Kasdi Ali bhnews@bharian.com.my 2010/05/01 Kapal terbang dipercayai milik AS berdasarkan logo tepi sayap IPOH: Sekumpulan pembalak menemui bangkai sebuah pesawat pengangkutan Air Transport Command milik Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) yang dipercayai terhempas ketika Perang Dunia Kedua di Gunung Bubu, Bruas, kira-kira 50 kilometer dari sini. Penemuan secara tidak sengaja bangkai pesawat berusia lebih 65 tahun itu berlaku ketika beberapa pekerja pembalakan menjalankan kerja menanda kawasan pembalakan baru. Seorang pembalak yang enggan dikenali berkata, ia ditemui ketika beliau bersama beberapa rakannya merentas denai di kawasan hutan itu bagi menanda kawasan pembalakan baru kira-kira dua minggu lalu. “Apabila tiba di satu kawasan cerun dengan ketinggian kira-kira 20 meter, seorang daripada kami terlihat objek bersinar di bawah cerun. “Dia kemudian turun untuk melihatnya sebelum menjerit meminta kami semua turun. “Saya terkejut apabila melihat objek itu ialah bahagian belakang sebuah pesawat besar yang terputus dua. “Melihat kepada keadaan persekitarannya, saya percaya kami adalah orang pertama menemuinya,” katanya di sini, semalam. Turut ditemui beberapa serpihan pesawat, enjin dan alat komunikasinya. Namun, katanya mereka hanya menemui bahagian belakang pesawat dan tidak menjumpai bahagian depannya serta mengesyaki pesawat itu terputus ketika terhempas berdasarkan keadaan hutan di gunung ini yang tebal dan berbukit. Sumber berkata, berdasarkan keadaan pesawat yang terputus dua, kemungkinan besar tiada sesiapa yang terselamat dalam insiden itu. “Jika ada pun yang cedera, mereka tidak mampu bertahan lama kerana pesawat itu terhempas di hutan dan jauh dari kawasan penempatan orang. Status pesawat dan penumpang di dalamnya mungkin diisytiharkan sebagai hilang dalam tugasan (MIA). “Saya berharap pihak bertanggungjawab memaklumkan kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) mengenai penemuan ini kerana memang jelas ia pesawat milik mereka,” katanya. Mengikut rakaman video menggunakan telefon bimbit milik seorang pembalak menunjukkan pesawat itu milik AS berdasarkan logo pada tepi sayap pesawat yang tertera Air Transport Command (ATC) dan Tentera Udara AS (USAF). Usaha wartawan akhbar ini untuk memasuki kawasan itu menemui jalan buntu kerana pembalak itu berkata, hanya rakannya yang dapat menunjuk arah ke lokasinya selain perjalanan ke kaki gunung memerlukan kenderaan pacuan empat roda yang tayarnya dipasang rantai. Perjalanan menaiki kenderaan terbabit memakan masa selama dua jam sebelum diteruskan dengan berjalan kaki sekurang-kurangnya satu hingga dua jam. Rakan beliau yang menjadi penunjuk arah dikatakan berada di luar negara atas urusan keluarga. Perkhidmatan ATC digunakan antara 1942 hingga 1948. Misinya ialah memenuhi keperluan segera untuk memperteguhkan pangkalan ketenteraan AS di seluruh dunia ketika Perang Dunia Kedua. ATC adalah pelopor kepada Military Air Transport Service (Servis Pengangkutan Ketenteraan Udara) pada 1948. |
No comments:
Post a Comment