“Islam itu tak beku, sesuai pada setiap zaman. Tetapi, para penganutnya sendiri yang membuat Islam tu jadi beku. Mudah saja, apa yang dicari orang hari ini, sudah ada dalam Islam sejak beratus tahun dulu, sama ada tentang kehidupan di langit, di bumi dan di laut. Malah kejadian budak dalam perut ibunya sudah dinyatakan dalam Al-Quran. Sayangnya orang Islam sendiri tak mau mencarinya. Kalau hidup berpegangkan ajaran agama, selamat kita dunia akhirat.”

Thursday, November 25, 2010

Kemahiran Tangan Orang Asli

Membuat Jerat Binatang

1. Menangkap makhluk binatang lain adalah kemahiran manusia yang datang daripada pengalaman dan pengetahuan, dengan dorongan keperluan atau kehendak naluri semulajadi. Samada binatang ditangkap untuk dijadikan bahan makanan atau sebaliknya, manusia sentiasa ada caranya.

2. Di Semenanjung Malaysia, pakar dalam ilmu kemahiran asas menangkap binatang di dalam hutan dengan membuat jerat, pastinya datang daripada kaum Orang Asli.

3. Jika kita berjalan di dalam hutan dan terjumpa jerat buatan, kita sebenarnya boleh mengagak daripada kelompok mana manusia yang memasangnya. Berikut adalah di antara paparan jerat binatang buatan tangan Orang Asli.


Mekanisma jerat disiapkan dan disimpan sebelum
dibawa ke dalam hutan dan dipasang di lokasi yang dikehendaki.

Demonstrasi bagaimana jerat dipasang
di dalam hutan.
 
 Keadaan dan rupa bentuk jerat binatang
yang telah siap dipasang. 

Bubu ikan/lukah berbentuk bulat yang dijerut kedua-dua hujungnya,
 dibiarkan di lokasi berhampiran sungai, sebelum dipasang apabila diperlukan.

Rupa bentuk mekanisma salah satu jenis jerat
yang digunakan oleh Orang Asli. 


 Bertukang Rumah Baru

1. Saya telah berpeluang untuk menyaksikan bagaimana seorang pemuda Orang Asli membina sebuah rumah baru daripada awal proses sehinggalah berdirinya sebuah rumah. Teknik pertukangan yang ditunjukkannya adalah amat ringkas. Pembinaan ini tidak menggunakan pelan dan tidak menggunakan peralatan elektrikal atau elektronik.

 Ruang kawasan rumah baru dibersihkan tapaknya. 
   
Struktur asas rumah baru dibina daripada
 tiang kayu bersesuaian yang dicari dari dalam hutan.

Rupa bentuk tulang bumbung rumah baru
 yang telah siap diikat kemas.

Peringkat terakhir rumah baru
sebelum dinding dan atapnya dipasang.


Pelbagai Kerajinan Tangan

Sarang buatan daripada buluh
 untuk tempat ayam mengeram telur.

 
Daun pokok dianyam dan dikeringkan
 sebelum digunakan sebagai atap dan sebagainya.


Lain-lain Kemahiran Tangan

1. Ketika menyaksikan kanak-kanak Orang Asli yang sedang asyik bermain model kenderaan buatan sendiri, saya tidak ingat untuk bertanya kepada mereka, siapa yang menghasilkan permainan tersebut. Jika kanak-kanak itu sendiri yang menghasilkannya, saya sendiri menjadi saksi bahawa memang bakat kreativiti, wujud secara semulajadi dalam diri masyarakat Orang Asli sejak mereka di usia muda lagi. 

Permainan buatan sendiri model motorsikal
daripada kayu. 
Permainan buatan tangan
model kenderaan pacuan empat roda.





Wednesday, November 24, 2010

Menghidupkan Api Dari Kayu Yang Masih Basah

Kayu Api Daripada Bahagian Pokok Yang Telah Kering

1. Apabila disebut perkataan kayu api, umumnya kita akan membayangkan ranting atau dahan pokok yang telah mati dan kering. Bahagian-bahagian pokok ini dipungut terus daripada kawasan belukar atau dibelah menjadi bahagian-bahagian lebih kecil, untuk dijadikan sumber pembakaran api yang dinyalakan.

2. Sumber kayu api yang biasa digunakan di sekitar perkampungan adalah seperti sabut kelapa, pelepah pokok kelapa, batang kayu buruk atau reput dan sebagainya. Jika terdapat keperluan untuk mendapatkan nyalaan api yang lebih marak atau menyala lebih lama, batang atau tongkol kayu yang lebih besar digunakan, dengan syarat ia betul-betul telah kering.



Kayu Api Daripada Batang Pokok Yang Masih Hijau Dan Basah

1. Mungkin ramai orang yang sudah tahu, sebenarnya kayu api juga boleh diperolehi daripada dahan atau batang pokok yang masih hidup. Maksudnya adalah pokok kayu yang masih hidup ditebang dan bahagian-bahagiannya yang masih belum mati atau kering, digunakan terus sebagai kayu api. Sumber ini saya panggil sebagai jenis kayu api basah.

2. Ketika berada di dalam hutan, mencari spesies pokok yang boleh ditebang untuk dijadikan kayu api segera, dengan tidak perlu dikeringkan terlebih dahulu, adalah suatu pekerjaan yang sangat sukar.

3. Pengalaman dan ilmu tentang hutan sangatlah diperlukan untuk mengesan atau mengecam jenis spesies pokok yang betul.




4. Mengikut tafsiran dan pemahaman peribadi saya, perihal tentang manusia boleh menggunakan terus kayu daripada spesies pokok tertentu, tanpa perlu dikeringkan terlebih dahulu sebagai bahan pembakaran api, ada dinyatakan di dalam Al-Quran.

5. Maksud daripada Surah Ya Sin, Ayat Ke-80 : 
"Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu."

Tuesday, November 23, 2010

Perbatasan Malaysia-Thailand Selepas Perjanjian Damai Haadyai Ditandatangani

Blackjacket

1. Kebanyakkan anggota dan pegawai pasukan keselamatan yang pernah ditugaskan di daerah sempadan Malaysia-Thailand pasti pernah mendengar tentang Blackjacket.

2. Kisah-kisah tentang Blackjacket ini mula kedengaran dalam tahun 1980-an dan masih disebut-sebut sehingga ke hari ini. Umumnya, Blackjacket adalah gelaran kepada elemen organisasi yang selalu kedapatan di kawasan perbatasan bersama Malaysia-Thailand.

3. Daripada cerita-cerita mulut yang telah saya dengar, anggota ATM di perbatasan sangat berwaspada dan menjaga peralatan semasa beroperasi di dalam hutan, kerana bimbang dicuri oleh  Blackjacket pada waktu malam.

4. Saya mendapati ada anggota ATM mengaitkan Blackjacket sebagai salah satu pasukan gerila daripada Parti Komunis Malaya yang dikatakan termasuk dalam senarai sangat dikehendaki.

5. Versi lain mengatakan bahawa Blacjacket adalah gelaran kepada elemen daripada pasukan keselamatan Thailand yang meronda di sempadan darat Malaysia-Thailand. Memang diketahui ada pasukan keselamatan Thailand yang mengenakan pakaian serba hitam ketika beroperasi.



6. Teori lain mengatakan Blackjacket merujuk kepada elemen daripada Gerila Pejuang Pembebasan Patani daripada Selatan Thailand, yang umumnya sangat dikenali sebagai PULO dalam era 1980-an dahulu.

7. Selepas Perjanjian Haadyai ditandatangani, saya mendapati istilah Blackjacket ini masih digunakan oleh anggota ATM yang terlibat dengan operasi berhampiran sempadan Malaysia-Thailand. Penggunaan gelaran Blackjacket pernah kedengaran apabila beberapa orang warga Thailand dikatakan telah ditahan oleh ATM di dalam hutan dan dibawa keluar dengan menaiki helikopter Nuri, pada hujung tahun 1990-an atau awal tahun 2000-an.

8. Blackjacket pasca Perjanjian Haadyai juga mungkin merujuk kepada kumpulan pencari hasil hutan atau pemburu haram yang dianggotai oleh warganegara Thailand. Kumpulan ini biasanya masuk secara sah ke dalam willayah Malaysia dengan menggunakan Pas Sempadan, sebelum menyelinap mauk ke dalam hutan untuk mengikis sumber hasil hutan Malaysia secara haram, dengan bantuan rakyat tempatan yang menjadi orang tengah.



Monday, November 22, 2010

Perang Saraf PKM Selepas Perjanjian Damai Haadyai Ditandatangani

Blog Mat Amin

1. Blog ini didakwa bertujuan menerangkan kisah sebenar perjuangan Rejimen Ke-10, Parti Komunis Malaya dari sudut pandangan bekas ahlinya yang bernama Mat Amin dan lain-lain. Beberapa lagi blog pro komunis kemudiannya muncul di Malaysia, seiring dengan suara-suara desakan kepada kerajaan agar membenarkan Chin Peng, Setiausaha Agung PKM terakhir, kembali ke Malaysia.

2. Blog Mat Amin dipercayai berpangkalan daripada luar negara dan sumbernya tidak diusahakan secara individu perseorangan. Paparan isi kandungan laman blog ini membabitkan sumber-sumber dalaman PKM seperti gambar-gambar foto, video propaganda dan sebagainya.

3. Blog ini diketengahkan dalam Bahasa Malaysia agar dapat mencapai sasaran pembaca yang lebih luas di negara kita, terutamanya menarik minat kalangan orang Melayu. Harus diingatkan bahawa salah satu faktor kegagalan PKM pada masa lampau adalah kurangnya sokongan orang Melayu yang merupakan kaum majoriti di Malaysia.

Menghalalkan Perjuangan PKM

1. Rejimen Ke-10, Parti Komunis Malaya majoritinya dianggotai dan dipimpin kaum Bumiputera yang mengaku masih kekal dan utuh beragama Islam. Malangnya pucuk pimpinan rejimen tersebut tidak pernah berusaha atau terfikir untuk membebaskan rejimen tersebut daripada perjuangan komunis bagi membentuk satu kumpulan tulen perjuangan Melayu-Islam.

2. Sepanjang peradaban Islam, saya belum pernah lagi mendengar atau membaca ada riwayat yang menceritakan tentang bagaimana ada insan atau kumpulan, berjaya mencapai keredhaan Allah atau mencapai darjat keimanan yang tinggi dengan cara memperjuangkan komunisme atau bekerjasama dengan puak komunis.

3. Dalam sejarah dunia juga tidak ada sebarang contoh kejayaan peradaban Islam dengan menggunakan idea model negara berfahaman komunis.

4. Dalam agama Islam, tidak ada penggunaan istilah komunis dalam mana-mana cabang ilmu atau ajarannya serta tidak pernah disebut walau sekali pun istilah komunis dalam kitab suci Al-Quran.

5. Komunisme adalah fahaman yang diasaskan oleh insan bukan Muslim. Sebagai orang Islam, tidak ada tokoh ikutan yang lebih utama selain pimpinan Nabi Muhammad S.A.W.

6. Bukanlah hak sesiapa sebagai individu untuk meyatakan atau menyukat tahap keimanan seseorang Muslim yang lain. Saya berlapang dada dengan dakwaan bekas anggota Rejimen Ke-10 PKM yang mengaku masih beragama Islam dan mengamalkan ajarannya.

7. Semoga Allah menunjukkan kita jalan yang pernah ditunjukkan-Nya kepada orang-orang yang pernah dianugerahkan rahmat daripada-Nya.
http://www.guidedways.com/chapter_display.php?chapter=1&translator=11&mac=

Komunis Di Malaysia Selepas PKM Menandatangani Perjanjian Haadyai

Parti Komunis Malaya

1. Dalam Perjanjian Damai Haadyai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM yang ditandatangani pada 2 Disember 1989, PKM diwakili oleh Chin Peng, Abdullah C.D. dan Rashid Maidin. Ketiga-tiga individu ini mewakili Parti Komunis Malaya.

2. Perlu diingatkan bahawa selain Parti Komunis Malaya (asal) pimpinan Chin Peng, sebenarnya terdapat dua lagi entiti kumpulan pengganas komunis yang berasingan di Semenanjung Malaysia iaitu:

i. Parti Komunis Kumpulan Revolusi (PKM-KR) dan

ii. Parti Komunis Marxist-Leninist (PKM-ML).

3. Parti Komunis Malaya (asal) pimpinan Chin Peng, Parti Komunis Kumpulan Revolusi (PKM-KR) dan Parti Komunis Marxist Leninist (PKM-ML) memiliki bendera, pemimpin dan wilayah kegiatan yang berbeza. Pergeseran di antara ketiga-tiga kumpulan ini sampai ke peringkat bertempur dan berbunuh-bunuhan sesama sendiri.

4. Walau bagaimanapun, dua kumpulan serpihan daripada PKM asal itu (PKM-KR dan PKM-ML) kemudiannya bersatu membentuk Parti Komunis Malaysia beberapa tahun sebelum Perjanjian Damai Haadyai ditandatangani.


Parti Komunis Malaysia

1. Tidak semua dokumen berkaitan operasi pasukan keselamatan menentang komunis telah diturunkan darjah/pemeringkatan dokumennya untuk tatapan umum walaupun Perjanjian Damai Haadyai telah ditandatangani hampir 21 tahun yang lalu.

2. Selepas Perjanjian Damai Haadyai ditandatangani, masih terdapat beberapa operasi di perbatasan sempadan Malaysia-Thailand dilaksanakan pada awal tahun 1990-an. Di antara yang diketahui umum adalah operasi pembersihan jerangkap samar/ periuk api, selain operasi-operasi berterusan di kawasan sensitif seperti Hutan Belum, Temenggor dan sebagainya.

3. Sehingga kini, beberapa kawasan hutan di sempadan Malaysia-Thailand masih diletakkan dalam kawalan ATM. Kebenaran daripada ATM diperlukan bagi mana-mana pihak yang ingin memasuki kawasan operasi ini.

4. Saya teringat satu kes yang dilaporkan dalam surat khabar dalam tahun 2004/2005 lalu, di mana dilaporkan orang awam ada terlihat sekumpulan lelaki membawa senjata di kawasan Hulu Perak. Sejauh mana kebenaran laporan itu dan identiti pihak terlibat  tidak dapat dipastikan. 

5. Dalam tahun 2000-an juga, dilaporkan di dalam akhbar bahawa seorang anggota ATM cedera ditembak oleh pihak yang tidak dapat dikenalpasti, semasa melaksanakan operasi kawalan/rondaan di sempadan Malaysia-Thailand.

6. Walau bagaimanapun, penyusupan menerusi hutan daripada sempadan darat Thailand ke wilayah Malaysia, sukar dilakukan tanpa dapat dikesan oleh pasukan keselamatan yang beroperasi secara tetap menerusi pos-pos kawalan di dalam hutan.Tidak terkecuali operasi berterusan daripada pasukan elit/khas PDRM mahupun ATM di kawasan sempadan. Pemantauan daripada pasukan elit/khas ini, membolehkan pasukan keselamatan mengesan aktiviti pengintipan daripada pihak Thailand dalam tahun 2000-an. Beberapa orang berpakaian hitam dikesan memanjat pokok untuk meninjau operasi tentera kita di sempadan Malaysia-Thailand.

7. Beberapa laman blog pro Komunis kini telah muncul dengan agenda meraih simpati orang Melayu, dengan cubaan menghalalkan komunis dari aspek agama Islam menerusi kewujudan Rejimen Ke-10 PKM. Selain itu, PKM dijenamakan semula sebagai perjuangan nasionalisma berhaluan kiri dalam menuntut kemerdekaan negara. Malang kerana laman-laman blog ini berpangkalan dari luar negara yang mana menyukarkan kerajaan mengambil tindakan.

8. Selagi ideologi komunis masih wujud di peringkat antarabangsa, selagi itu Malaysia dan pasukan keselamatan khasnya tidak harus alpa. Setakat ini, perang siber/saraf daripada komunis telah dilancarkan ke atas masyarakat awam dan generasi muda di Malaysia.

9. Lenyapnya Parti Komunis Malaysia selepas Perjanjian Damai Haadyai pada 2 Disember 1989 ditandatangani, meninggalkan seribu tanda tanya dan persoalan, samada penubuhannya benar-benar berlaku atau hanya bersifat retorik.

Sunday, November 21, 2010

ATM Selepas 21 Tahun Perjanjian Damai Haadyai

Menjelang 2 Disember 2010

1. Tujuh belas tahun sebelum Perjanjian Haadyai ditandatangani, Kerajaan Malaysia dan Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) telah menandatangani Perjanjian Sri Aman pada  21 Oktober 1973. Sekaligus menamatkan kempen menentang komunis di Malaysia Timur lebih awal berbanding di semenanjung.

2. Rundingan Damai Haadyai merupakan perjanjian damai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 di antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) serta Kerajaan Thailand, yang mebawa kepada pembubaran dan perletakan senjata PKM.

3. Bagi anggota tentera LLP yang menyertai perkhidmatan ATM pada tarikh Perjanjian Haadyai ditandatangani, tanggal 2 Disember 2010 adalah tarikh akhir perkhidmatan beliau sebelum berpencen 21 tahun.


Rekod Perkhidmatan Menentang Komunis

1. Secara rasminya, pertembungan terakhir PKM-ATM adalah pada tarikh Perjanjian Haadyai itu. Maka secara perkiraan mudahnya, anggota yang terlibat dalam pertembungan itu adalah veteran LLP terakhir yang ada rekod perkhidmatan menentang PKM.

2. Walau bagaimanapun, mengikut perkiraannya, masih ada pegawai ATM yang memiliki rekod perkhidmatan menentang PKM. Bagi perkhimatan pegawai, walaupun hanya 20 tahun perkhidmatan diperlukan sebelum layak menerima pencen tetapi tarikh persaraan bagi perkhidmatan pegawai boleh ditentukan mengikut umur berdasarkan pangkat disandang.

3. Begitu juga, mengikut perkiraannya, masih ada anggota berpangkat Pegawai Waran 1 yang boleh berkhidmat sehingga 22 tahun perkhidmatan, memiliki rekod perkhidmatan menentang PKM.

ATM Mengabadikan Pengalaman Menentang Komunis

1. Pengalaman dan data yang diperolehi ATM menerusi penentangan terhadap komunis diserap ke dalam doktrin dan taktik Peperangan Melawan Insurgensi (PMI) melalui sukatan mata pelajaran kursus di PULADA, PULPAK dan sebagainya.

2. Sebagai contoh, data daripada kes pertempuran sebenar di antara ATM-PKM digunapakai dalam senario untuk latihan medan/tempur menerusi ulangkaji terhadap plot kejadian sebenar.