“Islam itu tak beku, sesuai pada setiap zaman. Tetapi, para penganutnya sendiri yang membuat Islam tu jadi beku. Mudah saja, apa yang dicari orang hari ini, sudah ada dalam Islam sejak beratus tahun dulu, sama ada tentang kehidupan di langit, di bumi dan di laut. Malah kejadian budak dalam perut ibunya sudah dinyatakan dalam Al-Quran. Sayangnya orang Islam sendiri tak mau mencarinya. Kalau hidup berpegangkan ajaran agama, selamat kita dunia akhirat.”

Friday, September 7, 2012

Keindahan Landskap Semulajadi Hutan Di Malaysia Dicemari

Sampah Sarap Tinggalan Lanun Hutan Mencemari Belantara Di Malaysia

1. Aktiviti menjarah khazanah semulajadi di Malaysia oleh kumpulan lanun hutan, biasanya didalangi oleh warga tempatan yang bertindak sebagai ejen atau orang tengah. Warga tempatan ini akan menguruskan aspek pengangkutan untuk keluar atau masuk ke dalam lokasi hutan tertentu di Malaysia.

2. Di samping itu juga, orang tengah ini bertindak membekalkan barang-barang keperluan seperti makanan kering dan sebagainya kepada kumpulan lanun hutan yang berada di dalam belantara di Malaysia. 

3. Walau bagaimanapun, kumpulan lanun hutan didapati sering menggunakan bekalan barang-barang keperluan yang dibeli dari negara asal mereka sendiri, untuk menampung keperluan aktiviti mereka di dalam hutan belantara di Malaysia.

4. Kemungkinan besar anggota-anggota kumpulan lanun hutan ini boleh mendapatkan barang keperluan tertentu dengan harga yang lebih murah di negara asal mereka, berbanding dengan membelinya di Malaysia.

5. Apabila barang keperluan tersebut telah habis digunakan di dalam hutan, barulah anggota kumpulan lanun hutan ini menghubungi orang tengah mereka untuk membekalkan barang keperluan tersebut yang diperolehi dari  kedai atau pasar tempatan.

6. Penemuan bekas barang-barang dengan tulisan atau jenama asing, yang ditinggalkan di dalam sesebuah kawasan hutan, menjadi salah satu ciri bagi pola aktiviti kumpulan lanun hutan di dalam sesebuah kawasan hutan di Malaysia.

7. Berikut adalah gambar sampah sarap tinggalan aktiviti kumpulan lanun hutan di dalam belantara Malaysia yang diambil pada sekitar tahun 2006-2008.






Friday, August 31, 2012

Sumber Makanan Dari Dalam Hutan Belantara

Biji Buah Bangkong

1. Pokok Bangkong adalah spesies pokok berbuah yang tergolong dalam famili Moraceae. Spesies pokok lain yang tergolong di dalam famili tersebut adalah Pokok Cempedak dan Pokok Nangka.

2. Pokok Bangkong seperti di dalam gambar di bawah, ditemui di dalam sebuah kawasan hutan di Negeri Kelantan. Pokok tersebut tumbuh di tepi lereng bukit dan berketinggian lebih kurang 4 atau 5 meter.

3. Keadaan rupa bentuk fizikal Pokok Bangkong, umumnya hampir serupa dengan Pokok Cempedak dan Pokok Nangka, samada pada struktur bahagian pokok, daun atau buahnya. Walau bagaimanapun, tidak seperti ulas Buah Cempedak atau Buah Nangka, buah Pokok Bangkong tidak mempunyai ulas yang boleh dimakan oleh manusia.

4. Sungguhpun tidak mempunyai ulas buah yang boleh dimakan, biji buahnya boleh dimakan oleh manusia. Bagi setiap satu Buah Bangkong, terdapat lebih kurang 50 biji yang saiznya lebih kurang serupa dengan saiz biji Buah Cempedak atau Buah Nangka.

5. Bagi mendapatkan biji-biji Buah Bangkong, memadai dengan menghentak buahnya dengan sebatang kayu. Apabila buahnya sudah terbelah, maka biji-biji buah tersebut boleh dikeluarkan dari ruasnya dengan hanya menggunakan tangan.

6. Setelah dibersihkan, biji-biji Buah Bangkong tersebut direbus di dalam air selama beberapa minit. Rasa biji Buah Bangkong hampir serupa dengan rasa biji Buah Cempedak. Dengan jumlah biji yang banyak bagi setiap Buah Bangkong, memakan bijinya yang telah direbus boleh mengenyangkan perut seseorang manusia itu ketika berada di dalam hutan belantara. 

7. Selain daripada Buah Bangkong, terdapat banyak lagi pokok-pokok hutan unik yang boleh dimakan buahnya seperti Buah Tembasah, Buah Kejijak atau Buah Katam Telunjuk dan sebagainya.










Friday, July 6, 2012

Penemuan Punca Air Gunung Yang Tersembunyi Di Kawasan Lereng

Lokasi Permulaan Punca Air Yang Membentuk Sungai

1. Ketika berada di dalam sebuah kawasan hutan di Negeri Pahang dalam tahun 2008, saya telah menemui satu lubang kecil berdiameter kurang lebih 4 sentimeter di atas tanah, pada satu kawasan lereng. Dari mulut lubang kecil tersebut air keluar dengan deras, dan mengalir menuruni kawasan lembah ke kawasan lebih rendah.

2.  Cuaca pada waktu tersebut adalah hujan yang turun dengan lebat. Saya percaya hujan yang lebat menjadi faktor air yang keluar dari lubang punca air tersebut, mengalir dengan agak deras. Faktor aliran air yang deras ini, membolehkan saya menemui lokasi permulaan punca air tersebut, dengan izin dan limpah kurnia Allah S.W.T.

3. Struktur tanah di sepanjang laluan air, yang mengalir turun ke kawasan bawah lereng, didapati tidak terhakis akibat pergerakan air yang keluar dari lubang kecil tersebut. Saya percaya bahawa keadaan ini terjadi kerana pada waktu cuaca yang cerah, air yang keluar dari lubang tersebut biasanya sekadar mengalir dengan perlahan atau lemah.

4. Penemuan lubang punca air tersebut, mengubah tanggapan saya selama ini, yang beranggapan bahawa semua sumber saliran sungai adalah berpunca dari satu kawasan takungan yang terbentuk secara semulajadi, di atas puncak-puncak gunung. 





Friday, June 1, 2012

Pengalaman Menemui Longgokan Sisa Bulu Tupai Di Dalam Hutan

Longgokan Sisa Bulu Tupai Bertaburan Di Atas Lantai Hutan

1. Pada tahun 2008, saya telah menemui satu longgokan sisa bulu tupai di atas tanah, ketika berada di dalam sebuah kawasan hutan di dalam Negeri Pahang. Sisa bulu tupai yang saya temui itu berwarna hitam, putih dan oren.

2. Longgokan bulu tupai itu saya temui dalam keadaan bertaburan, berhampiran sebatang pokok balak yang tingginya lebih kurang 10 meter dari aras tanah. Saya percaya bahawa bulu-bulu tersebut berasal daripada satu spesies tupai hutan, yang telah dimakan oleh sejenis haiwan pemangsa. 

3. Haiwan pemangsa seperti spesies ular biasanya akan menelan keseluruhan tubuh haiwan yang menjadi mangsanya. Spesies kucing juga biasanya memakan daging haiwan yang menjadi mangsanya, bersama-sama kulit dan bulu.  

4. Saya percaya bahawa kewujudan longgokan sisa bulu tupai tersebut adalah berpunca daripada tindakan haiwan pemangsa daripada jenis burung karnivor, yang menyiat daging dan mengasingkan bulu daripada tubuh tupai berkenaan. Kemungkinan besar bahawa tupai tersebut telah menjadi mangsa kepada spesies burung helang.








Friday, May 4, 2012

Harimau Akar Di Sekinchan, Selangor

Nasib Malang Seekor Harimau Akar Yang Tersesat

1. Kawasan Sekinchan, Selangor umumnya adalah kawasan penanaman padi. Kawasan ini terletak lebih kurang 15 km dari kawasan persisiran pantai dan lebih kurang 10 km dari kawasan Hutan Simpan Raja Musa.

2. Saya ada menyimpan beberapa keping gambar yang menunjukkan bangkai seekor Harimau Akar atau Harimau Kumbang yang mati di Sekinchan, Selangor pada tahun 2004. Kejadian kematian Harimau Akar itu dikatakan berlaku berhampiran kawasan kilang yang terletak di tepi jalan raya utama.  

3. Punca kematian harimau tersebut tidak dapat saya kenalpasti. Mungkin akibat dilanggar kereta pada waktu malam ketika cuba menyeberang jalan raya, untuk pergi ke kawasan hutan paya bakau di persisiran pantai, dari habitat asalnya di kawasan Hutan Simpan Raja Musa.

4. Pernah ada orang India yang membina kandang lembu sementara di kawasan tepi sungai bersempadankan Hutan Simpan Raja Musa. Penternak tersebut memaklumkan bahawa lembu-lembunya pernah diserang dan dicakar oleh harimau di kawasan kandang sementaranya itu. Mungkin akibat diambil tindakan akibat menceroboh tanah kerajaan, atau akibat ancaman daripada harimau ke atas ternakannya, penternak tersebut kini tidak lagi meneruskan usaha penternakan lembu di kawasan tepi sungai tersebut.  
















Friday, April 13, 2012

Pengalaman Menemui Tulang Dan Tengkorak Gajah Di Dalam Hutan

Penemuan Rangka Gajah Di Dalam Hutan

1. Pada tahun 2008, sewaktu berada di dalam sebuah kawasan hutan di Negeri Pahang, saya telah menemui satu longgokan tulang gajah di kawasan bersemak, berhampiran sebuah anak sungai. Selain daripada tulang temulang, satu gading gajah dan satu tengkorak gajah juga turut ditemui. 

2. Tulang temulang gajah tersebut didapati berada dalam keadaan berselerak, dalam lingkungan 100 meter radius. Keadaan tersebut mungkin disebabkan oleh aktiviti haiwan pemangsa atau haiwan pembangkai.

3. Tanah di lokasi tempat tulang temulang gajah tersebut ditemui berwarna kelabu dan kehitam-hitaman, berbeza dengan warna tanah di bahagian lain di kawasan sekitar lokasi penemuan tersebut.






Friday, March 9, 2012

Aktiviti Memelihara Kuda Di Negeri Kelantan

Berkuda Adalah Sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

1. Di kawasan perkampungan orang Melayu di Semenanjung Malaysia, aktiviti memelihara kuda adalah sesuatu yang tidak lazim dilakukan dan sukar dilihat di mana-mana.

2. Walau bagaimanapun, dalam tahun 2010, saya telah melihat terdapat kuda-kuda yang ditambat di tengah-tengah padang untuk meragut rumput, ketika melalui sebuah kawasan perkampungan orang Melayu di Negeri Kelantan.

3. Ketika itu, saya telah menyaksikan bagaimana salah seekor kuda yang ditambat berhampiran sebuah kawasan sawah padi yang digenangi air, telah masuk berendam di dalam petak sawah yang dipenuhi air.

4. Kelakuan kuda tersebut menarik perhatian saya kerana saya percaya tidak banyak spesies kuda yang gemar, atau mampu berkubang di dalam petak sawah padi. Tambahan pula, dengan kehadiran lintah yang banyak didapati di dalam petak-petak sawah padi.  

5. Setelah melayari internet, saya terjumpa satu pautan yang menceritakan tentang sejarah aktiviti memelihara kuda di Negeri Kelantan. Rupa-rupanya, sejarah aktiviti memelihara kuda sudah lama berlangsung di Negeri Kelantan Darul Naim. Malahan baka spesies kuda yang dipelihara di negeri tersebut, sebenarnya terdiri daripada kacukan pelbagai jenis spesies asal kuda. http://fakulti0.tripod.com/kudapadi/id5.html










Friday, February 3, 2012

Kes Kehilangan Manusia Di Dalam Belantara Malaysia Yang Diselubungi Tanda Tanya

Kaitan Beberapa Kes kehilangan Dengan Haiwan Yang Tidak Dikenali

1. Saya sangat tertarik dengan kes kehilangan tiga orang kanak-kanak di Kawasan Paloh Hinai, Pekan, Pahang pada tahun 2004. Kes ini dikatakan mempunyai kaitan dengan sejenis haiwan yang tidak dapat dikenalpasti identitinya.

2. Kes kehilangan tersebut berlaku di dalam bulan puasa atau Bulan Ramadhan, di mana syaitan dirantai oleh Allah sepanjang bulan tersebut. Apa yang pasti, tidak mungkin kes kehilangan tersebut boleh dikaitkan dengan unsur-unsur makhluk halus atau ghaib, kerana peristiwa tersebut berlaku di dalam Bulan Ramadhan.

3. Pada 26 Mac 1967, seorang lelaki warganegara Amerika Syarikat bernama Jim Thompson telah hilang di kawasan hutan di Cameron Highlands, Pahang dan masih gagal dikesan sehingga ke hari ini. Sebelum berlakunya kes kehilangan tersebut, seorang gadis dari perkampungan Orang Asli di kawasan Cameron Highlands, Pahang juga didapati telah hilang sebelum berjaya ditemui semula oleh kaum keluarganya di dalam hutan.

4. Sewaktu penduduk di perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands tersebut melancarkan usaha mencari gadis yang hilang itu, beberapa kesan seperti tapak kaki haiwan yang tidak dikenali telah ditemui di kawasan hutan berhampiran. Beberapa penduduk Orang Asli juga dikatakan telah terserempak dengan haiwan yang tidak diketahui jenisnya itu.

5. Terdapat penduduk Orang Asli di kawasan Cameron Highlands, Pahang yang berpendapat bahawa punca kehilangan Jim Thompson yang turut dikenali sebagai 'Saudagar Sutera Thailand', adalah akibat dilarikan oleh sejenis mawas ke dalam kawasan hutan. Dikatakan bahawa haiwan tersebut dari masa ke semasa akan menjadikan gua di kawasan hutan di kawasan Cameron Highlands, Pahang sebagai tempat kediamannya. Selain itu, haiwan tersebut juga dikatakan menyukai habitat yang memiliki suhu atau cuaca yang sejuk seperti kawasan berpaya.

6. Pada 17 Febuari 2003, seorang lelaki warganegara Belanda bernama Careljan van Wezel, telah hilang di kawasan Cameron Highlands dan masih gagal ditemui sehingga ke hari ini. Pihak PDRM telah mengemukakan teori bahawa kes kehilangan tersebut membabitkan unsur jenayah seperti penculikan atau pembunuhan. Walaupun beberapa suspek telah ditahan oleh pihak PDRM, namun masih tidak ada sebarang kesimpulan kukuh yang dapat dibuat tentang punca sebenar kehilangan Careljan van Wezel.

7. Saya mendapat tahu bahawa ramai Orang Asli percaya bahawa di dalam hutan di Malaysia, terdapat sejenis haiwan yang seakan-akan monyet besar yang umumnya dikenali sebagai mawas. Haiwan ini memiliki kepintaran yang tinggi dan sangat mahir dengan selok belok kemandirian di dalam hutan.

8. Haiwan ini sangat misteri. Oleh itu, sehingga terdapat bukti yang kukuh tentang kewujudannya di Malaysia, tidak banyak yang boleh diperkatakan tentangnya.

Petikan Artikel Berkaitan Kes Kehilangan Kanak-kanak Di Kawasan Paloh Hinai, Pekan, Pahang

.................................................................................................................................

1. Petikan artikel dari akhbar Berita Harian bertarikh 10 November 2004:

.................................................................................................................................

Tiada kesan binatang buas

Berita Harian, 10 Nov 2004

Veena Rusli

KUALA LUMPUR: Polis tidak menemui sebarang kesan binatang buas di kawasan tempat tiga beradik dilaporkan hilang ketika bermain di ladang getah di Felcra Mambang Seberang dekat Pekan Sabtu lalu, kata Datuk Seri Najib Razak.                                                                                                                     
          Timbalan Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Pekan, berkata beliau dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Jasmani Yusoff, bahawa polis sukar memastikan apa yang sebenarnya terjadi kepada kanak-kanak itu. Najib berkata, maklumat daripada Jasmani mendapati tiada kesan binatang buas ditemui berhampiran tempat kejadian.
          “Polis sukar memastikan apa sebenarnya yang berlaku kepada tiga beradik itu kerana mereka berada tidak jauh dari bapa mereka sebelum hilang secara tiba-tiba. “Saya difahamkan polis sudah mengerahkan satu lagi platun Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengesan semua kanak-kanak itu dan orang kampung juga turut membantu,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan bungkusan Aidilfitri oleh penderma kepada Angkatan Bilangan anggota polis cari tiga beradik ditambah Tentera Malaysia di sini semalam.
          Dalam kejadian itu, Saharuddin Salehuddin, 6, dan dua adiknya, Budin, 5, dan Mariam 3, dikatakan hilang ketika bermain di ladang getah tidak jauh dari rumah mereka di Felcra Mambang Seberang, Paloh Hinai, dekat Pekan. Laporan menyebut, ketika itu bapa mereka, Sallehuddin Abdul Halim, 41, seorang penoreh getah, sedang membaiki motosikal dan dapat melihat anaknya bermain dan mendengar suara mereka dengan jelas. 
          Operasi mencari besar-besaran dilancarkan membabitkan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Rela, kakitangan Felcra dan penduduk setempat. Sementara itu di Pekan, Polis menambah anggota gerakan mencari tiga beradik itu. Jasmani, berkata daripada 73 anggota yang terbabit dalam usaha mencari semalam ditambah kepada 110 untuk mengesan kanak-kanak yang dilaporkan hilang pagi Sabtu lalu. Beliau berkata, penduduk kampung turut membantu dalam usaha mencari itu.
          Pasukan mencari juga akan mengadakan solat hajat di masjid atau surau berdekatan, katanya. Jasmani yakin ketiga-tiga beradik itu masih hidup dan masih berada di sekitar kawasan ladang getah seluas kira-kira 212 hektar itu. Beliau berharap peneroka yang melihat atau terserempak dengan tiga kanak-kanak itu memaklumkan kepada pihaknya di Ibu Pejabat Polis Pekan di talian 09-4221222 atau tampil ke balai polis berdekatan.

.................................................................................................................................

2. Petikan artikel dari akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 November 2004:

.................................................................................................................................

ARKIB : 11/11/2004

Menakjubkan, penuh misteri



SALEHUDDIN Abdul Halim melihat ketiga-tiga anaknya
Mariam (dari kanan), Saharuddin dan Budin di Hospital Pekan, semalam,
yang ditemui selepas lima hari hilang di ladang getah Felcra Mambang Seberang, Paloh Hinai.
- Gambar GHAZALI BASRI.

PEKAN 10 Nov. - Sungguh menakjubkan apabila tiga kanak-kanak yang baru setahun jagung dijumpai dalam keadaan selamat petang ini, setelah lima hari hilang ketika bermain di ladang getah dekat rumah mereka di Felcra Mambang Seberang di sini.
       Walaupun telah ditemui, kehilangan tiga beradik itu masih diselubungi misteri termasuklah bagaimana tiba-tiba boleh hilang sedangkan bapa mereka berada tidak jauh dari tempat mereka bermain Sabtu lepas. Kawasan mereka ditemui itu pula, sudah beberapa kali dilalui pasukan mencari dan menyelamat. Saharuddin, 6, Budin, 5, dan Mariam Salehuddin, 3, belum boleh bercerita kerana keadaan mereka lemah dengan seluruh badan dipenuhi gigitan serangga. Mereka kini dirawat di Hospital Pekan.
       Mereka ditemui dalam keadaan tidak berbaju di atas pulau kecil dalam kawasan berpaya berhampiran Kampung Tanjung Cempaka pukul 5.45 petang ini.Pasukan mencari dan menyelamat mula-mula menjumpai baju-T dan selipar milik Mariam pada pukul 5.30 petang berhampiran tempat penemuan mereka. ``Mereka dipercayai melalui anak sungai yang berhampiran dengan rumah mereka.
       ``Lebih misteri apabila pasukan mencari telah melalui lima enam kali kawasan berkenaan sebelum itu, tetapi tidak menjumpai mereka dan penemuan ini adalah sebagai satu takdir,'' kata Ketua Polis Daerah Pekan, Pemangku Supritendan Mohd. Jasmani Yusoff kepada Utusan Malaysia hari ini. Lokasi penemuan ketiga-tiga beradik itu pula adalah di luar kawasan ladang Felcra Mambang Seberang, tempat di mana mereka mula-mula dilaporkan hilang. Walau apapun, penemuan ketiga-tiga kanak-kanak ini merupakan berita gembira kepada bapa mereka, Salehuddin Abdul Halim, 41, menjelang 1 Syawal.
       Operasi mencari mula dilancarkan selepas berita kehilangan kanak-kanak itu dilaporkan oleh bapanya tetapi tiada sebarang petunjuk ditemui walaupun dengan bantuan anjing pengesan. Malahan khidmat bomoh sebelum ini turut digunakan tetapi gagal mengesan di mana ketiga-tiga beradik itu berada. Mohd. Jasmani memberitahu, lokasi kanak-kanak itu ditemui itu adalah kira-kira enam kilometer dari rumah mereka. Kanak-kanak itu mula ditemui oleh Ketua bahagian Ketenteraman Awam Daerah Pekan, Cif Inspektor, Mustapa Othman bersama satu pasukan mencari kanak-kanak yang hilang tersebut.
       Mohd. Jasmani berkata, pasukan mencari terpaksa meredah denai hutan sebelum ternampak kanak-kanak tiga beradik itu di tempat yang agak tinggi seperti pulau di tengah kawasan paya.
       Katanya, seramai 138 orang terlibat dengan pasukan mencari dan menyelamat itu yang membabitkan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Pasukan Gerak Am, Unit pengesan, kakitangan Felcra, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Rela dan penduduk kampung. Beliau yang ditemui di Hospital Daerah Pekan, di sini malam ini memberitahu, ketiga-tiga kanak-kanak itu telah dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan lanjut.
       Siasatan juga mendapati punca kehilangan adalah akibat sesat. Bagaimanapun katanya, ada beberapa aspek yang menimbulkan misteri dalam tempoh kehilangan kanak-kanak tersebut. ``Antaranya ialah bagaimana mereka melepasi parit sempadan ladang yang sedalam lima kaki dan 12 kaki lebar,'' katanya. Selain itu katanya, turut menimbulkan tanda tanya ialah bagaimana kanak-kanak-berkenaan berada terlalu jauh dari rumah mereka.
       ``Menurut bapa mereka, ketiga-tiga adik beradik ini tidak pernah pergi jauh dari kawasan rumah mereka atau rumah nenek mereka yang terletak 50 meter,'' katanya. Bapa kanak-kanak berkenaan, Salehuddin ketika ditemui pula menyifatkan penemuan anak-anak mereka sebagai hadiah yang tidak ternilai menjelang Hari Raya Aidilfitri. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk polis, PGA, Perhilitan, Rela dan penduduk kampung yang membantu proses pencarian selama lima hari.

.................................................................................................................................

3. Petikan artikel dari akhbar Utusan Malaysia bertarikh 12 November 2004:

.................................................................................................................................

ARKIB : 12/11/2004

``Kami ikut orang besar masuk hutan''


KUANTAN 11 Nov. - ``Saya dengan adik-adik ikut orang masuk hutan, orang badan besar,'' demikian pengakuan Saharuddin, 6, ketika ditanya mengenai misteri kehilangan dia dan dua adiknya, Budin, 5 dan Mariam Salehuddin, 3, selama lima hari ketika bermain di ladang getah dekat rumah mereka di Felcra Mambang Seberang, Paloh Hinai, Pekan, dekat sini.
          Dalam keadaan yang masih lemah dan tidak bermaya, Saharuddin atau panggilan manjanya `Tot' yang ditemui petang semalam memberitahu bapanya, Salehuddin Abdul Halim, sepanjang tempoh lima hari itu mereka `diberi' makan buah-buahan dan minum air dari tanah.
          ``Saya tak menangis, saya tak takut, cuma Yang (Mariam) je tak henti menangis,'' ceritanya kepada Sallehudin ketika diminta berbuat begitu oleh wartawan. Anak sulung daripada lima adik-beradik itu tidak dapat menerangkan dengan jelas jenis buah-buahan yang dimakan mereka selama lima hari. ``Saya tak tahu buah apa,'' katanya sambil berkali-kali menggeleng-gelengkan kepala.
          Kehilangan mereka adik-beradik Sabtu lepas telah menimbulkan misteri kerana ketika kejadian, bapa mereka berada tidak jauh dari tempat mereka bermain.Selepas lima hari operasi mencari dan menyelamat dijalankan, akhirnya tiga kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan selamat dan tidak berbaju, pukul 5.45 petang semalam kira-kira enam kilometer dari rumah mereka.
          Mereka ditemui di atas pulau kecil dalam kawasan berpaya berhampiran Kampung Tanjung Cempaka iaitu di luar kawasan Felcra Mambang Seberang dalam keadaan seluruh badan dan muka dipenuhi gigitan serangga.
          Ketiga-tiga beradik itu kemudiannya telah dibawa ke Hospital Pekan sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, di sini malam semalam. Mereka yang masih lemah dan kini mendapat rawatan lanjut di hospital berkenaan turut ditemani ibu mereka, Hasmah Sih selain Salehuddin.
          Saharuddin yang disifatkan oleh ibu dan bapanya sebagai anak yang amat pendiam seterusnya memberitahu, sepanjang lima hari itu mereka adik beradik tidur di atas tanah. `Bila malam gelap. Tak nampak apa-apa pun. Saya tak takut, Budin pun tak takut. Yang je yang takut,'' ceritanya yang kelihatan masih belum berselera untuk makan.
          Ditanya bagaimana mereka boleh berada di kawasan berpaya itu, kata Saharuddin, `orang badan besar' itu telah meninggalkan mereka di kawasan itu selepas mereka tiga beradik diajak bersiar-siar.
          Sementara itu, Salehuddin berkata, sejak ditemui petang semalam anak sulungnya itu masih tidak banyak bercakap sebaliknya hanya menjawab `sepatah' sahaja apa yang ditanya oleh dia dan isteri. ``Dia tak nak cerita pada saya, siapa dia ikut, apa dia makan. Sepatah saya tanya, sepatah dia jawab. Saya tengok dalam sehari ini, Tot lebih banyak berdiam,'' katanya.
          Berlainan dengan Budin dan Mariam, kata Salehuddin, dua anaknya itu menjerit-jerit perkataan `ayah, mak' ketika ditemui petang semalam dan begitu berselera menikmati makanan hari ini. ``Budin dan Mariam tak berhenti bercakap dengan saya dan isteri. Cuma butir perbualan mereka tidak jelas kerana faktor usia mereka,'' katanya.
          Semalam, Ketua Polis Daerah Pekan, Pemangku Supritendan Mohd. Jasmani Yusoff mengakui kepada Utusan Malaysia, penemuan tiga adik-beradik itu di kawasan berpaya itu misteri kerana pasukan mencari telah melalui lima enam kali kawasan berkenaan sebelum itu tetapi tidak menjumpai mereka. Sabtu lalu, tiga beradik itu dilaporkan hilang dan Salehuddin Membuat laporan polis selepas gagal mencari mereka.
          Seramai 138 orang terlibat dengan pasukan mencari dan menyelamat itu yang membabitkan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Pasukan Gerak Am, Unit pengesan, kakitangan Felcra, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Rela dan penduduk kampung.

Friday, January 13, 2012

Pengalaman Menemui Lokasi Keliaran Kambing Gurun Di Dalam Hutan

Lokasi Keliaran Kambing Gurun Di Hutan Pinggiran Kuala Lumpur

1. Dalam tahun 2006, ketika berada di dalam kawasan hutan di pinggir Kuala Lumpur, saya telah menemui satu lokasi hutan yang telah menjadi habitat Kambing Gurun. Beberapa kesan jejak haiwan liar tersebut telah ditemui di lokasi hutan terbabit.

2. Lokasi hutan tersebut terletak di kawasan tanah tinggi yang memiliki struktur batu kapur. Saya percaya bahawa keadaan rupa bumi sedemikian menjadi kawasan habitat kegemaran Kambing Gurun. Saya dimaklumkan bahawa Kambing Gurun sangat gemar menjilat garam bukit, yang biasa didapati di kawasan bukit atau gunung batu kapur.

3. Kambing Gurun memiliki kesan jejak tapak kaki yang hampir serupa dengan Babi Hutan. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan yang jika diamati dengan teliti, akan membolehkan kita membezakan di antara kesan tapak kaki Kambing Gurun dan Babi Hutan. 


Gambar-gambar Bekas Kesan Jejak Lama Kambing Gurun

Kesan tapak kaki Kambing Gurun di atas
tanah lumpur yang telah mengeras.

Bekas ragutan Kambing Gurun pada daun pokok hutan
 di kawasan lereng bukit.

Bekas tempat tidur sepasang Kambing Gurun
di sebalik kawasan belukar di lereng bukit.

Tinggalan najis Kambing Gurun lama yang telah
mengeras dan ditumbuhi kulat. 


Gambar-gambar Bekas Jejak Tinggalan Baru Kambing Gurun

Kesan tapak kaki Kambing Gurun yang masih baru
di kawasan lereng bukit.
 
Kesan tinggalan najis Kambing Gurun yang masih baru.

Friday, December 23, 2011

Keindahan Semulajadi Di Sepanjang Pendakian Ke Puncak Gunung Kinabalu

Flora Dan Fauna Di Gunung Kinabalu, Sabah

1. Pada tahun 2007, saya telah berkesempatan mendaki Gunung Kinabalu di Negeri Sabah. Walaupun hujan turun dengan agak lebat sewaktu pendakian tersebut, saya mendapati bahawa pemandangan semulajadi di Gunung Kinabalu sangat indah dan unik.

2. Jika dibandingkan dengan jenis pokok yang pernah saya lihat ketika mendaki kawasan gunung di Semenanjung Malaysia, saya berpendapat bahawa pokok-pokok bantut atau bonsai di kawasan Gunung Kinabalu lebih pelbagai dan menarik. Dalam hal ini, saya berasakan bahawa faktor geografi dan ketinggian Gunung Kinabalu menjadi faktor perbezaan tersebut. 

3. Mungkin kerana hujan turun dengan agak lebat di kawasan Gunung Kinabalu, beberapa ekor 'cacing gunung' yang agak panjang dan besar telah keluar ke permukaan tanah. Cacing tersebut hampir serupa dengan spesies cacing yang pernah saya temui, ketika mendaki sebuah gunung di Semenanjung Malaysia dalam keadaan hujan yang turun dengan lebat.

Gambar-gambar Tumbuhan Renek Di Gunung Kinabalu, Sabah







Gambar-gambar Fauna Di Gunung Kinabalu, Sabah