“Islam itu tak beku, sesuai pada setiap zaman. Tetapi, para penganutnya sendiri yang membuat Islam tu jadi beku. Mudah saja, apa yang dicari orang hari ini, sudah ada dalam Islam sejak beratus tahun dulu, sama ada tentang kehidupan di langit, di bumi dan di laut. Malah kejadian budak dalam perut ibunya sudah dinyatakan dalam Al-Quran. Sayangnya orang Islam sendiri tak mau mencarinya. Kalau hidup berpegangkan ajaran agama, selamat kita dunia akhirat.”

Monday, November 22, 2010

Komunis Di Malaysia Selepas PKM Menandatangani Perjanjian Haadyai

Parti Komunis Malaya

1. Dalam Perjanjian Damai Haadyai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM yang ditandatangani pada 2 Disember 1989, PKM diwakili oleh Chin Peng, Abdullah C.D. dan Rashid Maidin. Ketiga-tiga individu ini mewakili Parti Komunis Malaya.

2. Perlu diingatkan bahawa selain Parti Komunis Malaya (asal) pimpinan Chin Peng, sebenarnya terdapat dua lagi entiti kumpulan pengganas komunis yang berasingan di Semenanjung Malaysia iaitu:

i. Parti Komunis Kumpulan Revolusi (PKM-KR) dan

ii. Parti Komunis Marxist-Leninist (PKM-ML).

3. Parti Komunis Malaya (asal) pimpinan Chin Peng, Parti Komunis Kumpulan Revolusi (PKM-KR) dan Parti Komunis Marxist Leninist (PKM-ML) memiliki bendera, pemimpin dan wilayah kegiatan yang berbeza. Pergeseran di antara ketiga-tiga kumpulan ini sampai ke peringkat bertempur dan berbunuh-bunuhan sesama sendiri.

4. Walau bagaimanapun, dua kumpulan serpihan daripada PKM asal itu (PKM-KR dan PKM-ML) kemudiannya bersatu membentuk Parti Komunis Malaysia beberapa tahun sebelum Perjanjian Damai Haadyai ditandatangani.


Parti Komunis Malaysia

1. Tidak semua dokumen berkaitan operasi pasukan keselamatan menentang komunis telah diturunkan darjah/pemeringkatan dokumennya untuk tatapan umum walaupun Perjanjian Damai Haadyai telah ditandatangani hampir 21 tahun yang lalu.

2. Selepas Perjanjian Damai Haadyai ditandatangani, masih terdapat beberapa operasi di perbatasan sempadan Malaysia-Thailand dilaksanakan pada awal tahun 1990-an. Di antara yang diketahui umum adalah operasi pembersihan jerangkap samar/ periuk api, selain operasi-operasi berterusan di kawasan sensitif seperti Hutan Belum, Temenggor dan sebagainya.

3. Sehingga kini, beberapa kawasan hutan di sempadan Malaysia-Thailand masih diletakkan dalam kawalan ATM. Kebenaran daripada ATM diperlukan bagi mana-mana pihak yang ingin memasuki kawasan operasi ini.

4. Saya teringat satu kes yang dilaporkan dalam surat khabar dalam tahun 2004/2005 lalu, di mana dilaporkan orang awam ada terlihat sekumpulan lelaki membawa senjata di kawasan Hulu Perak. Sejauh mana kebenaran laporan itu dan identiti pihak terlibat  tidak dapat dipastikan. 

5. Dalam tahun 2000-an juga, dilaporkan di dalam akhbar bahawa seorang anggota ATM cedera ditembak oleh pihak yang tidak dapat dikenalpasti, semasa melaksanakan operasi kawalan/rondaan di sempadan Malaysia-Thailand.

6. Walau bagaimanapun, penyusupan menerusi hutan daripada sempadan darat Thailand ke wilayah Malaysia, sukar dilakukan tanpa dapat dikesan oleh pasukan keselamatan yang beroperasi secara tetap menerusi pos-pos kawalan di dalam hutan.Tidak terkecuali operasi berterusan daripada pasukan elit/khas PDRM mahupun ATM di kawasan sempadan. Pemantauan daripada pasukan elit/khas ini, membolehkan pasukan keselamatan mengesan aktiviti pengintipan daripada pihak Thailand dalam tahun 2000-an. Beberapa orang berpakaian hitam dikesan memanjat pokok untuk meninjau operasi tentera kita di sempadan Malaysia-Thailand.

7. Beberapa laman blog pro Komunis kini telah muncul dengan agenda meraih simpati orang Melayu, dengan cubaan menghalalkan komunis dari aspek agama Islam menerusi kewujudan Rejimen Ke-10 PKM. Selain itu, PKM dijenamakan semula sebagai perjuangan nasionalisma berhaluan kiri dalam menuntut kemerdekaan negara. Malang kerana laman-laman blog ini berpangkalan dari luar negara yang mana menyukarkan kerajaan mengambil tindakan.

8. Selagi ideologi komunis masih wujud di peringkat antarabangsa, selagi itu Malaysia dan pasukan keselamatan khasnya tidak harus alpa. Setakat ini, perang siber/saraf daripada komunis telah dilancarkan ke atas masyarakat awam dan generasi muda di Malaysia.

9. Lenyapnya Parti Komunis Malaysia selepas Perjanjian Damai Haadyai pada 2 Disember 1989 ditandatangani, meninggalkan seribu tanda tanya dan persoalan, samada penubuhannya benar-benar berlaku atau hanya bersifat retorik.

1 comment:

  1. Assalamualaikum,

    Apakah isu yang masih bermain dalam fikiran anda tentang komunisme yang masih belum terjawab? Saya sedang memikirkan soalan-soalan yang perlu dijawab.

    ReplyDelete