1. Dalam sekitar tahun 2008, ketika berada di kawasan Sekinchan, Selangor, saya telah menyaksikan telatah empat ekor Burung Enggang yang kelihatan meninjau-ninjau ke dalam rumah sarang Burung Hantu di sebuah kawasan Sawah Padi.
2. Burung Enggang tersebut tidak masuk secara keseluruhan badan ke dalam rumah sarang burung tersebut. Mungkin kerana faktor keadaan dalam rumah sarang burung tersebut yang gelap, atau dihalang oleh Burung Hantu yang berada di dalamnya.
3. Pada mulanya, saya menjangkakan bahawa Burung Enggang tersebut akan cuba untuk menangkap dan memakan anak-anak Burung Hantu yang berada di dalam rumah sarang burung tersebut. Tetapi, sehinggalah Burung Enggang tersebut terbang meninggalkan rumah sarang Burung Hantu tersebut, saya tidak menyaksikan sebarang objek berada di dalam mulutnya.
4. Burung Enggang diketahui sebagai sejenis burung yang makan serba serbi. Diet pemakanannya termasuklah ular, cicak, katak, buah-buahan dan sebagainya. Burung Hantu pula adalah sejenis burung karnivor yang bersifat nokturnal, iaitu aktif di waktu malam. Pada waktu siang, burung ini biasanya hanya tidur di dalam sarangnya.
5. Rumah sarang Burung Hantu tersebut dibina oleh manusia bagi tujuan kawalan biologi ke atas makhluk perosak tanaman padi seperti tikus. Daripada keadaan fizikalnya yang kelihatan masih elok dan sempurna, saya percaya bahawa rumah sarang burung tersebut sentiasa diselengggara dan diperiksa secara berkala oleh pihak Jabatan Pertanian.
6. Agak tidak ekonomik untuk pihak Jabatan Pertanian mengeluarkan kos untuk membina dan menyelenggara rumah tersebut, tetapi membiarkannya kosong dengan tidak diduduki oleh mana-mana Burung Hantu. Saya juga percaya bahawa Burung Hantu yang mati akan segera diganti dengan stok yang baru.
No comments:
Post a Comment