“Islam itu tak beku, sesuai pada setiap zaman. Tetapi, para penganutnya sendiri yang membuat Islam tu jadi beku. Mudah saja, apa yang dicari orang hari ini, sudah ada dalam Islam sejak beratus tahun dulu, sama ada tentang kehidupan di langit, di bumi dan di laut. Malah kejadian budak dalam perut ibunya sudah dinyatakan dalam Al-Quran. Sayangnya orang Islam sendiri tak mau mencarinya. Kalau hidup berpegangkan ajaran agama, selamat kita dunia akhirat.”

Sunday, January 2, 2011

Penemuan Cicak Ekor Bercabang Dua

Keunikan Kejadian Mahkluk Ciptaan Allah

1. Sesuatu yang berbeza itu biasanya akan bersifat menarik perhatian manusia. Tetapi jenis perbezaan itu yang akan menentukan samada manusia menyukainya atau membencinya. Tetapi, saya percaya setiap kejadian ciptaan Allah itu ada ruang yang tersendiri untuknya di atas muka Bumi ini.

2. Saya berkesempatan melihat dan mengurung seekor cicak yang unik dalam simpanan saya. Ekor cicak itu jelas bercabang di hujungnya. Saya ada mengambil beberapa keping gambar foto sebagai bukti penemuan saya itu.

3. Saya bencikan tahi cicak. Tambahan pula kalau tahi cicak itu saya temui di tengah-tengah ruang tamu rumah, terpijak di kaki ketika saya sedang dalam keadaan berwuduk atau ditemui dalam keadaan kering di mana-mana celah sudut rumah.

4. Walau bagaimanapun, pada satu hari dalam tahun 2010, saya terlihat kelibat seekor cicak rumah di celah tingkap dapur rumah saya. Saya segera mencapai sesuatu dan cuba menikam cicak itu. Tikaman saya itu tersasar dan cicak tersebut yang terkejut segera melarikan diri sehingga terbabas ke dalam sinki dapur. Ketika itulah saya menyedari ada sesuatu yang pelik tentang cicak tersebut. Setelah saya pasti bahawa cicak itu tidak dapat memanjat dinding sinki dapur yang licin, saya tersenyum.

5. Pada ketika itu, perkara pertama yang saya fikirkan adalah segera mengecas bateri kamera digital saya. Setelah mengambil beberapa keping gambar foto, saya mengurung cicak itu di dalam satu bekas platik bertutup. Saya mengisikan surat khabar yang direnyukkan sebagai perlindungan dan beberapa ekor semut hitam sebagai makanan cicak tersebut.

6. Perkara kedua yang terlintas dalam fikiran saya adalah untuk menjual cicak itu kepada mana-mana kedai haiwan peliharaan eksotik. Saya pasti bahawa sekurang-kurangnya saya akan ditawarkan RM200 atau RM300 untuk cicak yang memiliki ekor bercabang itu.  

7. Kebetulan pada ketika itu, saya menerima panggilan telefon daripada seseorang yang agak tinggi pengetahuan ilmu agamanya. Saya bertanyakan perihal penemuan saya itu dan keinginan saya untuk menjualnya.

8. Bermula daripada panggilan itu, niat untuk menjual cicak tersebut telah saya pertimbangkan semula. Saya difahamkan bahawa memang terdapat tatacara atau syarat-syarat tertentu dalam urusan berjual beli haiwan mengikut Agama Islam.

9. Pada pemahaman saya, di antara syarat-syarat berjual beli haiwan mengikut Agama Islam adalah pada asasnya haiwan itu diperlukan manusia samada sebagai makanan, pengangkutan atau sebagainya iaitu ada unsur-unsur untuk kepentingan atau kebaikan manusia. Tetapi jika haiwan itu dijual beli untuk tujuan dikurung bagi tujuan hiburan manusia, timbul keraguan bagi saya dalam hal ini. Boleh jadi saya salah atau kurang tepat di mana-mana dalam hal ini.

10. Akhirnya saya melepaskan semula cicak berekor dua itu di belakang rumah saya setelah sehari dan semalan saya mengurungnya di dalam bekas plastik bertutup. Kali terakhir saya melihat cicak berekor dua itu adalah ketika saya sedang menyiram pokok di belakang rumah saya. Ketika itu saya melihat cicak berekor dua itu sedang mengunyah semut api yang membentuk barisan masuk ke dalam rumah saya. 









No comments:

Post a Comment