Kaitan Beberapa Kes kehilangan Dengan Haiwan Yang Tidak Dikenali
1. Saya sangat tertarik dengan kes kehilangan tiga orang kanak-kanak di Kawasan Paloh Hinai, Pekan, Pahang pada tahun 2004. Kes ini dikatakan mempunyai kaitan dengan sejenis haiwan yang tidak dapat dikenalpasti identitinya.
2. Kes kehilangan tersebut berlaku di dalam bulan puasa atau Bulan Ramadhan, di mana syaitan dirantai oleh Allah sepanjang bulan tersebut. Apa yang pasti, tidak mungkin kes kehilangan tersebut boleh dikaitkan dengan unsur-unsur makhluk halus atau ghaib, kerana peristiwa tersebut berlaku di dalam Bulan Ramadhan.
3. Pada 26 Mac 1967, seorang lelaki warganegara Amerika Syarikat bernama Jim Thompson telah hilang di kawasan hutan di Cameron Highlands, Pahang dan masih gagal dikesan sehingga ke hari ini. Sebelum berlakunya kes kehilangan tersebut, seorang gadis dari perkampungan Orang Asli di kawasan Cameron Highlands, Pahang juga didapati telah hilang sebelum berjaya ditemui semula oleh kaum keluarganya di dalam hutan.
4. Sewaktu penduduk di perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands tersebut melancarkan usaha mencari gadis yang hilang itu, beberapa kesan seperti tapak kaki haiwan yang tidak dikenali telah ditemui di kawasan hutan berhampiran. Beberapa penduduk Orang Asli juga dikatakan telah terserempak dengan haiwan yang tidak diketahui jenisnya itu.
5. Terdapat penduduk Orang Asli di kawasan Cameron Highlands, Pahang yang berpendapat bahawa punca kehilangan Jim Thompson yang turut dikenali sebagai 'Saudagar Sutera Thailand', adalah akibat dilarikan oleh sejenis mawas ke dalam kawasan hutan. Dikatakan bahawa haiwan tersebut dari masa ke semasa akan menjadikan gua di kawasan hutan di kawasan Cameron Highlands, Pahang sebagai tempat kediamannya. Selain itu, haiwan tersebut juga dikatakan menyukai habitat yang memiliki suhu atau cuaca yang sejuk seperti kawasan berpaya.
6. Pada 17 Febuari 2003, seorang lelaki warganegara Belanda bernama Careljan van Wezel, telah hilang di kawasan Cameron Highlands dan masih gagal ditemui sehingga ke hari ini. Pihak PDRM telah mengemukakan teori bahawa kes kehilangan tersebut membabitkan unsur jenayah seperti penculikan atau pembunuhan. Walaupun beberapa suspek telah ditahan oleh pihak PDRM, namun masih tidak ada sebarang kesimpulan kukuh yang dapat dibuat tentang punca sebenar kehilangan Careljan van Wezel.
7. Saya mendapat tahu bahawa ramai Orang Asli percaya bahawa di dalam hutan di Malaysia, terdapat sejenis haiwan yang seakan-akan monyet besar yang umumnya dikenali sebagai mawas. Haiwan ini memiliki kepintaran yang tinggi dan sangat mahir dengan selok belok kemandirian di dalam hutan.
8. Haiwan ini sangat misteri. Oleh itu, sehingga terdapat bukti yang kukuh tentang kewujudannya di Malaysia, tidak banyak yang boleh diperkatakan tentangnya.
Petikan Artikel Berkaitan Kes Kehilangan Kanak-kanak Di Kawasan Paloh Hinai, Pekan, Pahang
.................................................................................................................................
1. Petikan artikel dari akhbar Berita Harian bertarikh 10 November 2004:
.................................................................................................................................
Tiada kesan binatang buas
Berita Harian, 10 Nov 2004
Veena Rusli
KUALA LUMPUR: Polis tidak menemui sebarang kesan binatang buas di kawasan tempat tiga beradik dilaporkan hilang ketika bermain di ladang getah di Felcra Mambang Seberang dekat Pekan Sabtu lalu, kata Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Pekan, berkata beliau dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Jasmani Yusoff, bahawa polis sukar memastikan apa yang sebenarnya terjadi kepada kanak-kanak itu. Najib berkata, maklumat daripada Jasmani mendapati tiada kesan binatang buas ditemui berhampiran tempat kejadian.
“Polis sukar memastikan apa sebenarnya yang berlaku kepada tiga beradik itu kerana mereka berada tidak jauh dari bapa mereka sebelum hilang secara tiba-tiba. “Saya difahamkan polis sudah mengerahkan satu lagi platun Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengesan semua kanak-kanak itu dan orang kampung juga turut membantu,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan bungkusan Aidilfitri oleh penderma kepada Angkatan Bilangan anggota polis cari tiga beradik ditambah Tentera Malaysia di sini semalam.
Dalam kejadian itu, Saharuddin Salehuddin, 6, dan dua adiknya, Budin, 5, dan Mariam 3, dikatakan hilang ketika bermain di ladang getah tidak jauh dari rumah mereka di Felcra Mambang Seberang, Paloh Hinai, dekat Pekan. Laporan menyebut, ketika itu bapa mereka, Sallehuddin Abdul Halim, 41, seorang penoreh getah, sedang membaiki motosikal dan dapat melihat anaknya bermain dan mendengar suara mereka dengan jelas.
Operasi mencari besar-besaran dilancarkan membabitkan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Rela, kakitangan Felcra dan penduduk setempat. Sementara itu di Pekan, Polis menambah anggota gerakan mencari tiga beradik itu. Jasmani, berkata daripada 73 anggota yang terbabit dalam usaha mencari semalam ditambah kepada 110 untuk mengesan kanak-kanak yang dilaporkan hilang pagi Sabtu lalu. Beliau berkata, penduduk kampung turut membantu dalam usaha mencari itu.
Pasukan mencari juga akan mengadakan solat hajat di masjid atau surau berdekatan, katanya. Jasmani yakin ketiga-tiga beradik itu masih hidup dan masih berada di sekitar kawasan ladang getah seluas kira-kira 212 hektar itu. Beliau berharap peneroka yang melihat atau terserempak dengan tiga kanak-kanak itu memaklumkan kepada pihaknya di Ibu Pejabat Polis Pekan di talian 09-4221222 atau tampil ke balai polis berdekatan.
.................................................................................................................................
2. Petikan artikel dari akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 November 2004:
.................................................................................................................................
ARKIB : 11/11/2004
Menakjubkan, penuh misteri
Oleh: ARSHAD KHAN
|
SALEHUDDIN Abdul Halim melihat ketiga-tiga anaknya
Mariam (dari kanan), Saharuddin dan Budin di Hospital Pekan, semalam,
yang ditemui selepas lima hari hilang di ladang getah Felcra Mambang Seberang, Paloh Hinai.
- Gambar GHAZALI BASRI. |
PEKAN 10 Nov. - Sungguh menakjubkan apabila tiga kanak-kanak yang baru setahun jagung dijumpai dalam keadaan selamat petang ini, setelah lima hari hilang ketika bermain di ladang getah dekat rumah mereka di Felcra Mambang Seberang di sini.
Walaupun telah ditemui, kehilangan tiga beradik itu masih diselubungi misteri termasuklah bagaimana tiba-tiba boleh hilang sedangkan bapa mereka berada tidak jauh dari tempat mereka bermain Sabtu lepas. Kawasan mereka ditemui itu pula, sudah beberapa kali dilalui pasukan mencari dan menyelamat. Saharuddin, 6, Budin, 5, dan Mariam Salehuddin, 3, belum boleh bercerita kerana keadaan mereka lemah dengan seluruh badan dipenuhi gigitan serangga. Mereka kini dirawat di Hospital Pekan.
Mereka ditemui dalam keadaan tidak berbaju di atas pulau kecil dalam kawasan berpaya berhampiran Kampung Tanjung Cempaka pukul 5.45 petang ini.Pasukan mencari dan menyelamat mula-mula menjumpai baju-T dan selipar milik Mariam pada pukul 5.30 petang berhampiran tempat penemuan mereka. ``Mereka dipercayai melalui anak sungai yang berhampiran dengan rumah mereka.
``Lebih misteri apabila pasukan mencari telah melalui lima enam kali kawasan berkenaan sebelum itu, tetapi tidak menjumpai mereka dan penemuan ini adalah sebagai satu takdir,'' kata Ketua Polis Daerah Pekan, Pemangku Supritendan Mohd. Jasmani Yusoff kepada Utusan Malaysia hari ini. Lokasi penemuan ketiga-tiga beradik itu pula adalah di luar kawasan ladang Felcra Mambang Seberang, tempat di mana mereka mula-mula dilaporkan hilang. Walau apapun, penemuan ketiga-tiga kanak-kanak ini merupakan berita gembira kepada bapa mereka, Salehuddin Abdul Halim, 41, menjelang 1 Syawal.
Operasi mencari mula dilancarkan selepas berita kehilangan kanak-kanak itu dilaporkan oleh bapanya tetapi tiada sebarang petunjuk ditemui walaupun dengan bantuan anjing pengesan. Malahan khidmat bomoh sebelum ini turut digunakan tetapi gagal mengesan di mana ketiga-tiga beradik itu berada. Mohd. Jasmani memberitahu, lokasi kanak-kanak itu ditemui itu adalah kira-kira enam kilometer dari rumah mereka. Kanak-kanak itu mula ditemui oleh Ketua bahagian Ketenteraman Awam Daerah Pekan, Cif Inspektor, Mustapa Othman bersama satu pasukan mencari kanak-kanak yang hilang tersebut.
Mohd. Jasmani berkata, pasukan mencari terpaksa meredah denai hutan sebelum ternampak kanak-kanak tiga beradik itu di tempat yang agak tinggi seperti pulau di tengah kawasan paya.
Katanya, seramai 138 orang terlibat dengan pasukan mencari dan menyelamat itu yang membabitkan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Pasukan Gerak Am, Unit pengesan, kakitangan Felcra, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Rela dan penduduk kampung. Beliau yang ditemui di Hospital Daerah Pekan, di sini malam ini memberitahu, ketiga-tiga kanak-kanak itu telah dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan lanjut.
Siasatan juga mendapati punca kehilangan adalah akibat sesat. Bagaimanapun katanya, ada beberapa aspek yang menimbulkan misteri dalam tempoh kehilangan kanak-kanak tersebut. ``Antaranya ialah bagaimana mereka melepasi parit sempadan ladang yang sedalam lima kaki dan 12 kaki lebar,'' katanya. Selain itu katanya, turut menimbulkan tanda tanya ialah bagaimana kanak-kanak-berkenaan berada terlalu jauh dari rumah mereka.
``Menurut bapa mereka, ketiga-tiga adik beradik ini tidak pernah pergi jauh dari kawasan rumah mereka atau rumah nenek mereka yang terletak 50 meter,'' katanya. Bapa kanak-kanak berkenaan, Salehuddin ketika ditemui pula menyifatkan penemuan anak-anak mereka sebagai hadiah yang tidak ternilai menjelang Hari Raya Aidilfitri. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk polis, PGA, Perhilitan, Rela dan penduduk kampung yang membantu proses pencarian selama lima hari.
.................................................................................................................................
3. Petikan artikel dari akhbar Utusan Malaysia bertarikh 12 November 2004:
.................................................................................................................................
ARKIB : 12/11/2004
``Kami ikut orang besar masuk hutan''
KUANTAN 11 Nov. - ``Saya dengan adik-adik ikut orang masuk hutan, orang badan besar,'' demikian pengakuan Saharuddin, 6, ketika ditanya mengenai misteri kehilangan dia dan dua adiknya, Budin, 5 dan Mariam Salehuddin, 3, selama lima hari ketika bermain di ladang getah dekat rumah mereka di Felcra Mambang Seberang, Paloh Hinai, Pekan, dekat sini.
Dalam keadaan yang masih lemah dan tidak bermaya, Saharuddin atau panggilan manjanya `Tot' yang ditemui petang semalam memberitahu bapanya, Salehuddin Abdul Halim, sepanjang tempoh lima hari itu mereka `diberi' makan buah-buahan dan minum air dari tanah.
``Saya tak menangis, saya tak takut, cuma Yang (Mariam) je tak henti menangis,'' ceritanya kepada Sallehudin ketika diminta berbuat begitu oleh wartawan. Anak sulung daripada lima adik-beradik itu tidak dapat menerangkan dengan jelas jenis buah-buahan yang dimakan mereka selama lima hari. ``Saya tak tahu buah apa,'' katanya sambil berkali-kali menggeleng-gelengkan kepala.
Kehilangan mereka adik-beradik Sabtu lepas telah menimbulkan misteri kerana ketika kejadian, bapa mereka berada tidak jauh dari tempat mereka bermain.Selepas lima hari operasi mencari dan menyelamat dijalankan, akhirnya tiga kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan selamat dan tidak berbaju, pukul 5.45 petang semalam kira-kira enam kilometer dari rumah mereka.
Mereka ditemui di atas pulau kecil dalam kawasan berpaya berhampiran Kampung Tanjung Cempaka iaitu di luar kawasan Felcra Mambang Seberang dalam keadaan seluruh badan dan muka dipenuhi gigitan serangga.
Ketiga-tiga beradik itu kemudiannya telah dibawa ke Hospital Pekan sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, di sini malam semalam. Mereka yang masih lemah dan kini mendapat rawatan lanjut di hospital berkenaan turut ditemani ibu mereka, Hasmah Sih selain Salehuddin.
Saharuddin yang disifatkan oleh ibu dan bapanya sebagai anak yang amat pendiam seterusnya memberitahu, sepanjang lima hari itu mereka adik beradik tidur di atas tanah. `Bila malam gelap. Tak nampak apa-apa pun. Saya tak takut, Budin pun tak takut. Yang je yang takut,'' ceritanya yang kelihatan masih belum berselera untuk makan.
Ditanya bagaimana mereka boleh berada di kawasan berpaya itu, kata Saharuddin, `orang badan besar' itu telah meninggalkan mereka di kawasan itu selepas mereka tiga beradik diajak bersiar-siar.
Sementara itu, Salehuddin berkata, sejak ditemui petang semalam anak sulungnya itu masih tidak banyak bercakap sebaliknya hanya menjawab `sepatah' sahaja apa yang ditanya oleh dia dan isteri. ``Dia tak nak cerita pada saya, siapa dia ikut, apa dia makan. Sepatah saya tanya, sepatah dia jawab. Saya tengok dalam sehari ini, Tot lebih banyak berdiam,'' katanya.
Berlainan dengan Budin dan Mariam, kata Salehuddin, dua anaknya itu menjerit-jerit perkataan `ayah, mak' ketika ditemui petang semalam dan begitu berselera menikmati makanan hari ini. ``Budin dan Mariam tak berhenti bercakap dengan saya dan isteri. Cuma butir perbualan mereka tidak jelas kerana faktor usia mereka,'' katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Pekan, Pemangku Supritendan Mohd. Jasmani Yusoff mengakui kepada Utusan Malaysia, penemuan tiga adik-beradik itu di kawasan berpaya itu misteri kerana pasukan mencari telah melalui lima enam kali kawasan berkenaan sebelum itu tetapi tidak menjumpai mereka. Sabtu lalu, tiga beradik itu dilaporkan hilang dan Salehuddin Membuat laporan polis selepas gagal mencari mereka.
Seramai 138 orang terlibat dengan pasukan mencari dan menyelamat itu yang membabitkan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Pasukan Gerak Am, Unit pengesan, kakitangan Felcra, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Rela dan penduduk kampung.