“Islam itu tak beku, sesuai pada setiap zaman. Tetapi, para penganutnya sendiri yang membuat Islam tu jadi beku. Mudah saja, apa yang dicari orang hari ini, sudah ada dalam Islam sejak beratus tahun dulu, sama ada tentang kehidupan di langit, di bumi dan di laut. Malah kejadian budak dalam perut ibunya sudah dinyatakan dalam Al-Quran. Sayangnya orang Islam sendiri tak mau mencarinya. Kalau hidup berpegangkan ajaran agama, selamat kita dunia akhirat.”

Friday, March 4, 2011

Kebanjiran Spesies Ampai-ampai Di Perairan Teluk Bahang, Pulau Pinang

Gambar Spesies Obor-obor Di Persisiran Pantai Teluk Bahang

1. Dalam sekitar tahun 2006, saya telah melawat kawasan pantai di kawasan Teluk Bahang, Pulau Pinang. Apa yang menariknya pada waktu kunjungan saya itu, kawasan perairan di persisiran pantai kawasan tersebut dipenuhi dengan pelbagai spesies obor-obor.

2.  Terdapat obor-obor yang berwarna putih dan kecoklatan yang terapung hampir dengan permukaan laut. Walau bagaimanapun, nelayan di kawasan tersebut memaklumkan bahawa obor-obor atau ampai-ampai tersebut bukan daripada spesies yang boleh dimakan oleh manusia.

3. Spesies penyu diketahui mendarat di beberapa kawasan pantai di Teluk Bahang, Pulau Pinang untuk bertelur. Spesies penyu diketahui menjadikan obor-obor sebagai salah satu diet pemakanannya. Boleh jadi disebabkan faktor kewujudan banyak spesies obor-obor di perairannya, spesies penyu juga boleh didapati di perairan Teluk Bahang, Pulau Pinang.

4. Boleh jadi kebanjiran spesies obor-obor di perairan Teluk Bahang, Pulau Pinang adalah disebabkan perubahan suhu air laut atau mengikut musim pembiakan spesies tersebut.





Thursday, March 3, 2011

Dilema Perkahwinan Campur Dalam Masyarakat Orang Asli

Perubahan Genetik Orang Asli Akibat Perkahwinan Campur

1. Apabila sesebuah syarikat pembalakan mendapat konsesi pembalakan di kawasan hutan yang berhampiran dengan perkampungan Orang Asli, perkara pertama yang akan dibuat oleh syarikat tersebut adalah mengupah Orang Asli di kawasan tersebut untuk membina kem atau kongsi balak.

2. Apabila sesebuah kem atau kongsi balak dibina berhampiran dengan kawasan petempatan masyarakat Orang Asli, maka akan wujudlah suatu medium yang memudahkan perhubungan dan kemasukan pengaruh luar ke dalam masyarakat Orang Asli.

3. Saya sudah menyaksikan beberapa kes yang melibatkan perkahwinan di antara wanita Orang Asli dengan pekerja-pekerja pembalakan. Anak-anak hasil perkahwinan campur ini memiliki rupa paras yang hampir serupa dengan masyarakat Melayu. Ciri-ciri asal genetik Orang Asli seperti berambut kerinting dan berkulit hitam manis, sudah tidak kelihatan lagi pada anak-anak hasil perkahwinan campur tersebut.

4. Secara umumnya, rupa paras anak-anak hasil perkahwinan campur tersebut memang menarik. Kebanyakkannya berkulit putih, berambut lurus dan kelihatan cerdik. Namun, pada pendapat saya, perkara ini akan menjadi suatu ancaman kepada aspek pemuliharaan genetik masyarakat Orang Asli.




Kerapuhan Institusi Kekeluargaan Akibat Perkahwinan Campur

1. Malang sekali kerana kebanyakan pasangan yang berkahwin campur dalam masyarakat Orang Asli selalunya terdedah kepada risiko kerapuhan institusi kekeluargaan. Jangka masa perkahwinan mereka biasanya tidak lama.

2. Formula yang mesti diguna pakai bagi pasangan yang berkahwin campur itu adalah, salah seorang daripada mereka mesti meninggalkan budaya dan cara hidup asal mereka. Walau bagaimanapun, jarang ada orang dari bandar yang sanggup meninggalkan kehidupan modennya untuk hidup bersama-sama pasangannya di dalam perkampungan Orang Asli.

3. Telah berlaku satu kes di mana seorang wanita Orang Asli yang berkahwin dengan seorang pembalak berketurunan Cina, telah kembali semula ke kampung halamannya, setelah mendapati dirinya tidak dapat atau tidak sesuai menjalani kehidupan di bandar.

4. Dalam kes tersebut, anak-anak hasil perkahwinan campur tersebut yang akan menjadi mangsa. Kebiasaannya, anak-anak tersebut akan dibesarkan di bawah jagaan ibu atau bapa mereka dengan bantuan saudara mara terdekat, di perkampungan masyarakat Orang Asli.

Penularan Dakyah Melalui Perkahwinan Campur

1. Dalam tahun 1980-an, seorang lelaki bernama Bruno Manser telah tinggal bersama-sama suku kaum Penan di dalam hutan Negeri Sarawak. Bruno Manser telah mengeksploitasi isu-isu berkaitan pemuliharaan alam sekitar dengan kemandirian hidup suku kaum Penan di Negeri Sarawak, bagi meraih simpati di peringkat antarabangsa,

2. Bruno Manser telah  menjadi duri dalam daging  kepada negara Malaysia, kerana telah menyebarkan dakyah-dakyah yang memperlihatkan kerajaan Malaysia seolah-olah gagal membela kepentingan suku kaum Penan.

3. Dalam tahun 2007, saya mendapati bahawa seorang lelaki dari Negeri Sabah telah berkahwin dengan seorang wanita Orang Asli dan tinggal bersama-sama pasangannya itu, di perkampungan Orang Asli di Pos Gob, Gua Musang, Hulu Kelantan.

4. Saya mengetahui tentang perkara ini setelah menyemak rekod program, yang dilaksanakan oleh sebuah agensi kerajaan di kawasan perkampungan Orang Asli tersebut. Dalam catatan rekod tersebut, saya berasa pelik kerana ada satu pasangan Orang Asli yang dicatatkan anutannya sebagai Krisxxxx.

5. Setelah saya melihat dengan mata sendiri bahawa terdapat orang dari Negeri  Sabah yang menetap di kawasan perkampungan Orang Asli tersebut, barulah saya faham dengan keadaan yang sebenar. Di dalam satu perkumpulan, orang dari Negeri Sabah itu kelihatan memakai baju dengan tulisan berbaur Krisxxxx.

6. Bagi kebanyakan orang bandar, biasanya bukan mudah untuk tinggal di dalam kawasan hutan dengan mengamalkan cara hidup seperti Orang Asli. Pada pendapat saya, adalah tidak mustahil bahawa orang dari Negeri Sabah itu adalah seorang pendakyah Krisxxxx yang memiliki sokongan daripada organisasi tertentu.

7. Aktiviti pendakyahan Krisxxxx di kalangan masyarakat Orang Asli antaranya dilakukan dengan cara memilih remaja tertentu daripada kalangan Orang Asli, untuk dibawa melawat ke Negeri Sabah. Setibanya remaja berkenaan di Negeri Sabah, mereka akan didedahkan dengan lawatan dan program-program tertentu yang berbaur Krisxxxx.

8. Pendakyahan Krisxxxx di kawasan perkampungan Orang Asli ini turut dilakukan menerusi penyebaran dan pemakaian kelengkapan pakaian tertentu. Pakaian-pakaian seperti topi dan baju dengan imej atau tulisan tertentu yang berbaur Krisxxxx, diagih-agihkan secara percuma kepada penduduk di perkampungan Orang Asli.

9. Pendakyah Krisxxxx daripada kalangan orang Cina juga bergiat aktif di kawasan perkampungan Orang Asli di kawasan Hulu Kelantan. Dalam tempoh tertentu, pendakyah ini akan datang ke kawasan perkampungan Orang Asli tersebut dengan menaiki kenderaan 'pick-up' hilux yang penuh dengan muatan barang-barang. Sebagai salah satu taktik pendakyahan, barang-barang tersebut akan diagihkan kepada masyarakat Orang Asli di situ.

10. Saya telah melihat sebuah gexxxx didirikan di dalam kawasan perkampungan Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang, Hulu Kelantan. Pembinaan gexxxx itu telah menggunakan sumber-sumber semulajadi, dengan memperlihatkan ciri-ciri reka bentuk Orang Asli. Pembinaan gexxxx ini mungkin berlaku kerana beberapa orang penduduk dan tokoh masyarakat Orang Asli di kampung tersebut, dipercayai telah dikrisxxxxkan.

11. Di kawasan perkampungan Orang Asli di Hulu Kelantan, terdapat penduduk Orang Asli yang beragama Islam.  Dari masa ke semasa, terdapat kumpulan pendakwah Islam yang datang berdakwah ke perkampungan Orang Asli di kawasan tersebut http://zainalalhafiz.blogspot.com/search?q=pos+simpor.

12. Malaysia telah menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Mengikut peraturan undang-undang negara Malaysia,  adalah menjadi satu kesalahan bagi sesiapa atau mana-mana pihak yang menyebarkan agama lain kepada orang-orang yang beragama Islam di negara ini.